
KUCHING — Tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak hanya ditentukan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, biarpun terdapat bayangan bahawa ia bakal diadakan dalam tempoh 100 hari lagi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun timbul pelbagai spekulasi berhubung tarikh pilihan raya, kata putus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya berpihak kepada Premier Sarawak.
“Pihak kita tidak perlu terlalu bimbang. Saya percaya, sama ada pada peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) ataupun blok pembangkang, masing-masing sudah sedia maklum bahawa PRN perlu dilaksanakan pada masa terdekat memandangkan penggal DUN sedia ada akan berakhir pada penghujung tahun ini,” katanya menerusi satu sidang akhbar pada Jumaat.
Kenyataan tersebut merujuk kepada peringatan Timbalan Premier merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Khamis, yang menggesa jentera parti agar bersiap sedia menghadapi PRN yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang 100 hari.
Sementara itu, Dr Sim turut memberi amaran agar ahli parti tidak bersikap terlalu yakin atau leka dengan pencapaian masa lalu, sebaliknya perlu bekerja keras menyantuni rakyat memandangkan PRN kali ini disifatkan sebagai ‘medan perang’ yang kritikal untuk mempertahankan hak autonomi negeri.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim mendedahkan cadangan penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak masih tertangguh dan menunggu kelulusan di peringkat Persekutuan sebelum proses warta dapat dilaksanakan.
Jelas beliau, usul yang telah dibentangkan dan mendapat sokongan di peringkat DUN Sarawak kira-kira setahun lalu itu bakal menyaksikan peningkatan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 kerusi bagi memenuhi tahap keperluan semasa negeri.
“Mengikut Perlembagaan Persekutuan, urusan persempadanan semula hanya boleh dilaksanakan selepas tempoh lapan tahun dan Sarawak sudah pun melepasi fasa tersebut.
”Perlu ditegaskan penambahan ini hanya melibatkan kerusi DUN dan sama sekali tidak membabitkan kerusi Parlimen,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.
Bagaimanapun, beliau membayangkan sekiranya kelulusan rasmi diperoleh, kesemua 17 kerusi tambahan itu kemungkinan besar hanya akan diguna pakai pada PRN yang berikutnya, dan bukannya pada pilihan raya yang bakal menjelang ini memandangkan ia masih tertakluk kepada pelbagai proses dan prosedur persempadanan yang ditetapkan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







