Kerajaan teguh pertahan kedudukan Tuanku Muhriz, hormati proses perlembagaan – PM

PUCHONG – Kerajaan Persekutuan tetap mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan akan terus menjalankan urusan rasmi dengan baginda selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu diambil susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di Melaka.

Beliau menegaskan bahawa sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu ditangani menerusi saluran perundangan yang sah bagi menjamin kestabilan negara serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menyingkirkan atau memecat seseorang raja bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana melibatkan kedudukan institusi tertinggi yang menjadi tunjang sistem pemerintahan negara.

“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.

“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan.

“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tunku Nadzaruddin dipasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis yang dikendalikan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang bertindak mewakili Undang Yang Empat.

Pemasyhuran berkenaan dilihat menambah ketegangan dalam kemelut perebutan takhta yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Pada April lalu, empat undang termasuk Datuk Mubarak Thahak dari Sungai Ujong yang kedudukannya masih menjadi pertikaian, mengumumkan penamatan kedudukan Tuanku Muhriz serta menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu negeri itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menolak tindakan tersebut dan menegaskan ia tidak mempunyai asas yang sah kerana Mubarak tidak diiktiraf sebagai Undang yang berkuasa.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi sebahagian daripada asas kenegaraan Malaysia.

“Kita sebagai Kerajaan Persekutuan, walaupun tidak terbabit secara langsung, harus memberikan nasihat (kepada Raja-Raja Melayu).

“Terutama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem raja ini bukan hanya namanya, tetapi kemuliaannya, beberapa kaedah dan peraturannya. Sebab ini kita tetap pertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan raja.

“Saya juga menyokong penuh tindakan Aminuddin yang menyatakan oleh kerana simpang siur tidak tentu arah ini, sebaiknya diadakan pilihan raya dan Tuanku Muhriz juga sudah beri perkenan,” katanya.

Related Posts

PM tegas terhadap pelanggaran undang-undang warga asing dalam sektor perniagaan

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang melibatkan penyalahgunaan lesen, visa atau kemudahan perniagaan, termasuk yang berkaitan dengan pembabitan warga asing dalam sektor perniagaan tempatan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tiada kaitan antara foto rasmi Jemaah Menteri dengan pembubaran Parlimen

PUTRAJAYA – Sesi fotografi rasmi yang melibatkan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri hari ini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan spekulasi pembubaran Parlimen seperti yang tular di media sosial. Jurucakap…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PM tegas terhadap pelanggaran undang-undang warga asing dalam sektor perniagaan

PM tegas terhadap pelanggaran undang-undang warga asing dalam sektor perniagaan

Tiada kaitan antara foto rasmi Jemaah Menteri dengan pembubaran Parlimen

Tiada kaitan antara foto rasmi Jemaah Menteri dengan pembubaran Parlimen

Sekatan MyKhas hanya membabitkan peruntukan khas Perdana Menteri – Fahmi

Sekatan MyKhas hanya membabitkan peruntukan khas Perdana Menteri – Fahmi

Hubungan dalam Kerajaan Perpaduan kekal stabil meskipun hadapi saingan PRN

Hubungan dalam Kerajaan Perpaduan kekal stabil meskipun hadapi saingan PRN

PRN Johor, pembubaran DUN Negeri Sembilan dibincang dalam mesyuarat Biro Politik PKR

PRN Johor, pembubaran DUN Negeri Sembilan dibincang dalam mesyuarat Biro Politik PKR

Notis bubar DUN Negeri Sembilan dihantar ke SPR pada Jumaat bagi beri laluan PRN diadakan

Notis bubar DUN Negeri Sembilan dihantar ke SPR pada Jumaat bagi beri laluan PRN diadakan