
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan kemudahan tempat letak kereta di pusat bandar Kota Kinabalu adalah mencukupi, dengan lebih 20,000 petak parkir disediakan bagi memastikan kelancaran trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan pengunjung.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitha berkata, walaupun kemudahan parkir tersedia dengan banyak, DBKK mendapati masih terdapat pemandu yang meletakkan kenderaan di lokasi tidak sah seperti bahu jalan, laluan masuk dan keluar premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, kawasan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta lokasi yang menghalang pergerakan lalu lintas
“Kira-kira 4,005 petak parkir awam telah disediakan di kawasan pusat bandar dan sekitarnya.
“Selain itu, kemudahan parkir bertingkat turut disediakan di beberapa lokasi strategik seperti Bangunan KK Plaza (452 petak), Menara Jubili (276 petak) dan KK Sentral (499 petak) dengan kadar caj RM1.00 sejam.
“Serta terdapat lebih 19,000 petak parkir di bangunan komersial dan premis persendirian di pusat bandar yang boleh digunakan oleh orang ramai.
“Antaranya termasuk The Shore (711 petak), Wisma Sabah (125 petak), Wisma Merdeka (752 petak) dan Warisan Square (510 petak),” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kemudahan parkir lain yang turut disediakan termasuk Suria Sabah (2,016 petak), Riverson (760 petak), Plaza Shell (550 petak), Oceanus (815 petak), KK Times Square (3,287 petak), KK Plaza (450 petak), Jesselton Q (1,148 petak), Jesselton Mall (910 petak), Imago (1,795 petak), Kompleks Asia City (1,581 petak), Centre Point (1,376 petak) dan Api-Api Centre (1,480 petak).
“Kadar caj bagi parkir di premis persendirian di pusat bandar adalah berpatutan, antara RM2.00 hingga RM4.00 untuk beberapa jam pertama, menjadikannya alternatif mudah dan selesa bagi pengunjung,” kongsianya.
Tambahnya, tindakan meletak kenderaan secara tidak teratur bukan sahaja menyalahi peraturan tetapi turut berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan risiko kemalangan, serta menjejaskan aktiviti perniagaan dan urusan harian orang awam.
“Selain itu, kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur jugs berisiko merosakkan kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain yang disediakan untuk kegunaan masyarakat.
“Dalam menangani isu ini, tindakan terhadap kesalahan parkir dilakukan secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya.
Menurut Sabin, sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil, anggota penguat kuasa memberi amaran melalui siren atau pembesar suara untuk memberi peluang kepada pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan mereka.

“Jika pemilik kenderaan tidak hadir atau kesalahan berterusan, DBKK akan mengeluarkan notis kompaun selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Bagi kes-kes yang lebih serius, seperti menghalang lalu lintas, membahayakan keselamatan awam, kesalahan berulang atau kegagalan mematuhi arahan, tindakan penundaan kenderaan akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir setelah prosedur lengkap dipatuhi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sabin turut mengingatkan orang ramai aktiviti berjalan kaki dari kawasan parkir ke destinasi adalah amalan biasa di bandar-bandar utama dunia dan boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan kesesakan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur dan selesa.
“Penggunaan kemudahan parkir di bangunan berhampiran seperti KK Plaza dan The Shore boleh membantu mengurangkan kesesakan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur.
“Sehubungan itu, DBKK menyeru semua pengguna jalan raya agar menggunakan petak parkir sah, mematuhi peraturan yang ditetapkan dan merancang perjalanan dengan lebih baik ketika berurusan di pusat bandar.
“Kerjasama dan sikap bertanggungjawab daripada orang ramai amat penting bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya bersih, teratur, selamat dan mesra pengguna,” tegasnya.








