
TAWAU – Seorang penyelia dan juru ukur kanan sebuah syarikat perlombongan emas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Jumaat, atas pertuduhan menceroboh kawasan tanah milik syarikat Southsea Gold Sendirian Berhad di Bukit Mantri, pada 22 Mei lepas.
Tertuduh, Chok Kat Leong, 65, dan Romuald Peter, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya bersama enam lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tersebut dengan niat mengganggu operasi pekerja membuat kerja di kawasan tanah milik syarikat Southsea Gold Sendirian Berhad, yang boleh menimbulkan syak wasangka.
Kesalahan itu dilakukan pada 22 Mei lalu kira-kira pukul 1. 30 petang di Bukit Mantri, Balung di tanah bersatus CL No 105681141.
Justeru, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 447 KANUN Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai hadapan bagi sebutan semula kes dan membenarkan kedua-duanya masing-masing diikat jamin RM2,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.








