SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi akan dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media khas di kediaman rasminya dekat Seremban malam ini.
Aminuddin memaklumkan, pembubaran DUN itu dibuat selepas beliau menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada jam 8.30 malam, pada Khamis.
“Tuanku telah perkenan untuk membubarkan DUN (Negeri Sembilan) bermula pada esok iaitu pada 5 Jun 2026. (Pembubaran DUN) telah mengikut peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kita akan hantar notis kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bagi menentukan tarikh untuk hari penamaan calon dan undi,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, keputusan itu diambil selepas ada pihak yang bermain tarik tali dalam menyokong pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PH.
“Kita melihat kemelut berlaku kerana mula mula tarik sokong lepas itu tak menyokong kerajaan. Justeru, kita berpandangan perlu mandat baharu dari rakyat dan kita serahkan mandat itu kepada pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin mengesahkan PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN pada PRN akan datang dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama keseluruhan kepimpinan akar umbi PH di peringkat negeri dan pusat.
“Insya-Allah, kita akan bertanding 36 kerusi DUN dan pembahagian kerusi untuk PH kita akan muktamadkan pada minggu depan. Walaupun sudah ada (draf) namun minggu depan saya akan umumkan.
“Setakat ini, AMANAH dan DAP setuju (pembahagian kerusi) dan di peringkat PKR kita menyokong,” katanya.





