SEGAMAT – Dakwaan tular di media sosial bahawa Hospital Segamat akan menghentikan operasinya mulai 1 Julai depan susulan masalah kekurangan kakitangan kesihatan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan masyarakat umum.
Hantaran yang tersebar secara meluas itu mendakwa hospital utama daerah Segamat berkenaan akan mula menghentikan penerimaan rujukan daripada klinik kesihatan pada bulan ini sebelum menutup operasinya sepenuhnya pada Julai.
Malah, dakwaan tersebut turut mengaitkan situasi berkenaan dengan masalah kekurangan doktor dan petugas kesihatan, sekali gus menggambarkan ia sebagai petanda kepada krisis yang lebih besar dalam sistem kesihatan awam negara.
Bagaimanapun, maklumat yang diperoleh daripada sumber dalaman hospital menunjukkan keadaan sebenar tidak seperti yang digambarkan menerusi hantaran tular tersebut.
Seorang doktor di Hospital Segamat yang enggan dikenali menjelaskan bahawa hospital itu tidak akan ditutup, sebaliknya pihak pengurusan sedang meneliti langkah pengurusan kapasiti bagi perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) yang kini berdepan peningkatan jumlah pesakit.
Menurut beliau, klinik serta wad O&G hospital berkenaan kini beroperasi hampir pada tahap kapasiti maksimum berikutan jumlah rujukan yang tinggi daripada kawasan berhampiran termasuk Pahang dan Negeri Sembilan.
“Ia bukan isu penutupan hospital. Apa yang sedang dibincangkan adalah mengenai pengurusan rujukan kes-kes O&G tertentu dari luar Johor yang selama ini banyak dihantar ke Hospital Segamat.
“Jika jumlah pesakit terus meningkat tanpa pertambahan tenaga kerja dan kemudahan, ia boleh menimbulkan cabaran operasi yang akhirnya memberi kesan kepada mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau menjelaskan pesakit dari Muadzam Shah di Pahang serta kawasan Tampin dan Gemas di Negeri Sembilan mungkin akan dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital dalam negeri masing-masing bagi mengurangkan tekanan terhadap kapasiti Hospital Segamat.
Sebagai contoh, pesakit dari Muadzam Shah boleh dirujuk ke hospital di Kuantan, manakala pesakit dari Tampin dan Gemas boleh mendapatkan rawatan di hospital sekitar Seremban.
Menurut beliau lagi, langkah tersebut bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia selaras dengan sistem rujukan sedia ada dalam perkhidmatan kesihatan awam, termasuk amalan merujuk pesakit Hospital Segamat yang memerlukan rawatan lebih khusus ke hospital pakar lain seperti Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata beliau masih menunggu laporan lengkap daripada pihak hospital sebelum memberikan ulasan lanjut mengenai perkara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad mengesahkan bahawa satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada orang ramai.
Isu berkenaan timbul ketika sektor kesihatan awam negara terus berdepan cabaran berkaitan kekurangan tenaga kerja dan peningkatan beban tugas, khususnya dalam bidang perkhidmatan pakar yang menyaksikan permintaan pesakit semakin meningkat saban tahun.
Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan, bagi mengelakkan kekeliruan serta kebimbangan dalam kalangan pesakit dan keluarga mereka.




