MITI perjelas isu siasatan USTR, tegaskan tiada amalan buruh paksa di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa Malaysia tidak mengamalkan buruh paksa seperti yang dipersepsikan sesetengah pihak susulan siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan USTR pada 2 Jun lalu yang mencadangkan pengenaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Malaysia selepas tamat tempoh tarif sementara Seksyen 122 pada 24 Julai depan.

Menurut MITI, penemuan yang dikemukakan oleh USTR tidak menunjukkan bahawa Malaysia mengamalkan buruh paksa atau mempunyai persekitaran pekerjaan yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa.

Sebaliknya, penemuan tersebut merujuk kepada ketiadaan peruntukan undang-undang khusus bagi menyaring kemasukan barangan dan bahan mentah dari negara ketiga yang berkemungkinan mempunyai unsur buruh paksa dalam rantaian bekalannya.

Kementerian itu menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani jurang berkenaan melalui pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dasar.

“Malaysia mempunyai rangka kerja undang-undang domestik yang komprehensif melarang buruh paksa, antaranya Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Pekerjaan 1955 dan Piawaian Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) Akta 2021, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, dikuatkuasakan dengan ketat oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” kata MITI.

Dalam masa yang sama, MITI menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad berhubung pengenaan tarif terhadap Malaysia telah dibuat oleh pihak USTR setakat ini.

Menurut kementerian itu, cadangan tarif sebanyak 10 peratus yang dibangkitkan masih berada pada peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan.

“Sebarang kadar tarif hanya akan dikenakan selepas USTR melengkapkan proses siasatan penuhnya dan mengeluarkan penentuan rasmi,” kata kenyataan itu.

MITI memaklumkan bahawa cadangan tersebut kini melalui proses rundingan awam yang memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas.

Permohonan untuk menghadiri sesi pendengaran awam bersama ringkasan keterangan perlu dikemukakan sebelum 22 Jun 2026, manakala ulasan bertulis hendaklah diserahkan selewat-lewatnya pada 6 Julai 2026. Sesi pendengaran awam pula dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2026.

Menurut MITI, keputusan akhir berhubung perkara itu dijangka diumumkan pada penghujung Julai 2026, bertepatan dengan tamatnya tempoh tarif sementara Seksyen 122 pada 24 Julai 2026.

Selain isu berkaitan buruh paksa, Malaysia turut menjadi subjek siasatan USTR berhubung dakwaan lebihan kapasiti industri yang berpotensi menjejaskan pasaran global.

Bagaimanapun, MITI menegaskan bahawa sektor perindustrian negara beroperasi berdasarkan permintaan pasaran sebenar dan tidak mempunyai kapasiti pengeluaran berlebihan yang boleh memesongkan perdagangan antarabangsa.

“Malaysia telah mengemukakan bukti terperinci untuk tujuan ini dan akan mempertahankan pendirian ini. USTR masih belum mengeluarkan sebarang penemuan dan mencadangkan tindakan berkaitan,” katanya.

MITI turut menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai negara perdagangan yang bertanggungjawab dengan sistem perlindungan pekerja yang kukuh serta komitmen berterusan terhadap amalan perdagangan yang adil dan berasaskan peraturan.

Menurut kementerian itu, Malaysia sentiasa mematuhi obligasi di bawah pelbagai perjanjian perdagangan dua hala, serantau dan pelbagai hala yang disertainya.

“Kerajaan akan terus libat urus dengan Amerika Syarikat di semua peringkat dan akan memberikan maklumat terkini selanjutnya apabila proses itu berjalan,” katanya.

Related Posts

Veteran ATM disaran ceburi sektor pengangkutan selepas bersara

PUTRAJAYA – Bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disarankan terus menyumbang kepada ekonomi negara melalui peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan selepas tamat perkhidmatan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Agenda nasional jaga kebajikan veteran ATM diterjemah menerusi kerjasama MoT-MINDEF

PUTRAJAYA – Kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan sebagai komitmen kerajaan dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kertas siasatan nahas ragut lima nyawa dirujuk ke AGC, kes diklasifikasikan sebagai bunuh

Kertas siasatan nahas ragut lima nyawa dirujuk ke AGC, kes diklasifikasikan sebagai bunuh

1,318 tapak sulaiman duri disingkirkan di Pulau Adal, Pulau Tabawan

1,318 tapak sulaiman duri disingkirkan di Pulau Adal, Pulau Tabawan

Pelbagaikan aktiviti sukan tarik pengunjung ke Kompleks Sukan Sandakan – Vivian

Pelbagaikan aktiviti sukan tarik pengunjung ke Kompleks Sukan Sandakan – Vivian

MCMC kenakan kompaun RM200,000 terhadap penyebar maklumat palsu

MCMC kenakan kompaun RM200,000 terhadap penyebar maklumat palsu

RM7.8 juta naik taraf jambatan Sungai Tiku, manfaat lebih 50,000 penduduk

RM7.8 juta naik taraf jambatan Sungai Tiku, manfaat lebih 50,000 penduduk

Sabah rangka Pelan OGSE 2026-2030, sasar perkukuh industri minyak, gas negeri

Sabah rangka Pelan OGSE 2026-2030, sasar perkukuh industri minyak, gas negeri