BATU PAHAT – Dua individu, termasuk seorang wanita, maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan di daerah ini awal pagi tadi.
Kedua-dua kejadian yang berlaku di lokasi berbeza itu membabitkan motosikal dan lori yang berada di lorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan pertama berlaku kira-kira jam 5 pagi di Kilometer 82.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
Menurut beliau, mangsa, Lutfi Adib Yusof, 20, seorang penunggang motosikal warga Singapura, dipercayai berhenti di lorong kecemasan selepas motosikal yang ditungganginya mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan menuju ke Port Dickson.
“Ketika berada di lorong kecemasan, mangsa dirempuh sebuah lori yang dipercayai terbabas. Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian kedua yang berlaku di Kilometer 118 lebuh raya sama arah utara, seorang wanita, Maizura Kokiman, 41, maut selepas motosikal yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang rosak dan berhenti di lorong kecemasan.
Difahamkan, mangsa ketika itu membonceng motosikal yang ditunggang suaminya berusia 44 tahun dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Cameron Highlands.
Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar kon keselamatan dan seterusnya merempuh lori yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
Akibat kemalangan itu, Maizura meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Shahrulanuar berkata, pemandu lori yang terlibat dalam kedua-dua kejadian dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


