ALHAMDULILLAH, umat Islam sekali lagi menyambut Aidiladha. Sebuah perayaan yang bukan sekadar hadir dengan takbir dan ibadah korban, tetapi membawa bersama kisah-kisah agung tentang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan manusia kepada Tuhan.
Tahun ini, jutaan umat Islam kembali berhimpun di Tanah Suci. Dilaporkan jumlah jemaah haji mencecah lebih 1.5 juta orang daripada pelbagai bangsa, bahasa dan latar kehidupan. Mereka disatukan oleh tujuan yang sama. Mencari reda Ilahi di tengah perjalanan spiritual.
Di sebalik lautan manusia berpakaian ihram itu, terselit satu kisah yang tidak pernah luput ditelan zaman. Kisah seorang ibu yang berlari sendirian di tengah padang pasir demi menyelamatkan anaknya yang kehausan.
Sejarah mengenalnya sebagai Siti Hajar.
Setiap kali Aidiladha menjelang, yang sering dibicarakan adalah tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun ada satu lagi kisah besar, yang merakam satu lagi pelajaran yang sangat dekat dengan kehidupan manusia moden hari ini. Tentang kesunyian, ketabahan, dan bagaimana harapan kadang-kadang lahir di tempat yang paling gersang.
Sebelum ditinggalkan di lembah tandus itu, Siti Hajar hanya bertanya satu soalan:
“Adakah ini perintah Allah?” Dan apabila difahami bahawa itulah ketentuan Tuhan, ibu itu berserah. Siti Hajar tidak mempersoalkan takdir, apatah lagi marah terhadap jalan hidupnya. Bekalan mahal yang dibawa Siti Hajar hanyalah iman.
Allah tidak terus menurunkan air dari langit. Sebaliknya, Siti Hajar diminta berjalan daripada Safa ke Marwah berulang kali dalam kepanasan yang mampu membakar hangus harapan. Di situlah tersembunyi satu falsafah yang sering dilupakan bahawa tawakal tidak pernah bererti berhenti melangkah.
Mungkin sebab itu langkah Siti Hajar diabadikan menjadi sebahagian rukun Haji. Jutaan manusia daripada seluruh dunia, tanpa mengira pangkat dan darjat, sama ada raja atau rakyat, mengulangi perjalanan seorang ibu yang pernah berlari sendirian di tengah gurun demi menyelamatkan anaknya.
Dan dunia hari ini juga mungkin lebih dekat dengan kisah Siti Hajar daripada yang kita sangka. Kerana hari ini, ramai yang sedang hidup di ‘padang pasir’ masing-masing. Ada ibu yang membesarkan anak dalam himpitan hidup yang menyesakkan. Ada ayah yang bekerja siang malam tetapi masih gagal memenuhi keperluan rumah. Ada anak muda yang berjalan dalam dunia yang semakin kehilangan arah di tengah masyarakat yang makin keras dan mudah menghukum.
Ramai sebenarnya sedang berlari antara Safa dan Marwah dalam hidup mereka sendiri. ‘Padang pasir’’ yang semakin mengering. Seperti Hajar, ramai yang sedang mencari ‘air’ untuk terus bertahan dan meneruskan hidup.
Malah dalam dunia kepimpinan juga, perjalanan menuju perubahan tidak pernah berlaku di jalan yang mudah. Setiap usaha memperbaiki sebuah negara sering melalui gurun yang dipenuhi ketidakpercayaan, fitnah, kemarahan rakyat, dan keputusan-keputusan sukar yang tidak selalu difahami pada waktu ia dilakukan.
Kerana sejarah tidak pernah dibina oleh manusia yang memilih jalan paling selesa. Bahkan, setiap tamadun besar lahir daripada manusia yang sanggup bertahan lebih lama daripada letih lelah mereka sendiri.
Dan seperti Siti Hajar, manusia kadang-kadang tidak diberi jawapan segera. Mereka hanya diberi pilihan sama ada mahu berhenti atau terus berjalan. Malah, di tengah dunia yang semakin bising dengan kemarahan dan perseteruan, manusia moden sebenarnya sedang mencari ‘Zamzam’ masing-masing.
Ada yang mencarinya dalam perjuangan mencari rezeki. Ada yang mencarinya dalam usaha membina keluarga yang lebih baik. Ada yang mencarinya dalam perjuangan mempertahankan maruah dan keadilan. Dan ada juga yang mencarinya dalam usaha memulihkan sebuah bangsa yang terlalu lama luka oleh perpecahan, kerakusan kuasa dan hilangnya belas ihsan.
Tetapi seperti kisah Siti Hajar, tidak semua perjalanan itu akan difahami serta-merta. Kadang manusia hanya akan mengerti makna sebuah perjalanan selepas mereka berjaya melepasi gurunnya.
Sebab itu Aidiladha bukan sekadar tentang penyembelihan haiwan korban. Ia adalah peringatan bahawa dalam hidup ini, ada perjuangan yang memerlukan manusia mengorbankan ego, keselesaan, dan keinginan untuk melihat hasil dengan segera.
Dan mungkin itu juga sebabnya kisah seorang srikandi sejati seperti Siti Hajar tidak pernah mati.
Kerana setiap zaman ada manusia-manusia yang sedang berlari dalam panas kehidupan mereka sendiri. Dengan hati yang letih dan harapan yang hampir putus, tetapi masih percaya bahawa Tuhan belum meninggalkan mereka.
Seperti Hajar. Seorang ibu yang pernah ditinggalkan sendirian di padang pasir, tetapi akhirnya diabadikan namanya dalam perjalanan suci seluruh umat manusia.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






