
TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, akan diperkukuhkan dengan penglibatan komuniti Orang Asli bagi membantu usaha mengesan mangsa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam situasi mencabar ketika ini, setiap usaha dan ikhtiar amat penting bagi memastikan mangsa dapat ditemukan segera.
Menurutnya, Tok Batin serta komuniti Orang Asli dijangka turut membantu operasi SAR susulan kepakaran mereka yang arif mengenai selok-belok kawasan hutan berkenaan.
“Saya difahamkan Tok Batin Orang Asli akan turut campur tangan selepas ini bagi membantu usaha pencarian.
“Penglibatan komuniti ini dilihat mampu memberi kelebihan dalam operasi SAR memandangkan mereka mempunyai pengalaman serta pengetahuan mendalam mengenai kawasan hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi SAR di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, beliau berpuas hati dengan taklimat yang diberikan selain menzahirkan penghargaan kepada semua anggota penyelamat daripada pelbagai jabatan, agensi serta sukarelawan yang bertungkus-lumus menjalankan operasi sejak mangsa dilaporkan hilang pada Ahad lalu.
Menurutnya, operasi SAR yang kini memasuki hampir seminggu akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan keluarga mangsa berada dalam keadaan tabah dan reda menghadapi ujian berkenaan.
“Pejabat Daerah turut menyediakan bantuan keperluan asas termasuk makanan dan kemudahan penginapan kepada keluarga mangsa sepanjang berada di pusat kawalan operasi.
“Mereka memilih untuk berada di surau ini berbanding inap desa yang disediakan kerana mahu lebih dekat dengan pusat operasi,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar Jaslinda segera ditemukan dalam keadaan selamat selain keluarganya terus diberikan kekuatan dan ketabahan.
Sebelum ini, Jaslinda yang mempunyai hampir 10 tahun pengalaman mendaki dilaporkan menyertai ekspedisi bersama 13 pendaki lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu.
Ekspedisi tersebut melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat sebelum mangsa dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
Mangsa kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, aktiviti pendakian yang disertai mangsa di kawasan Hutan Simpan Kekal itu didapati mematuhi SOP ditetapkan.
“Mangsa juga bukan kali pertama memasuki kawasan tersebut. Ini merupakan kali kedua beliau mendaki di situ dan difahamkan merancang untuk kembali lagi pada masa hadapan.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan,” katanya.




