BATU PAHAT – Program Ibadah Korban Rahmah anjuran AMANAH Kawasan Batu Pahat yang berlangsung di Parit Mahang, Senggarang pagi tadi berjaya dilaksanakan dalam suasana penuh harmoni dan semangat kebersamaan masyarakat setempat.
Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Batu Pahat, Mahadzir Mat Zili berkata, program berkenaan menyaksikan dua ekor lembu korban berjaya disembelih dengan urusan penyediaan daging korban selesai sekitar jam 12.30 tengah hari hasil kerjasama erat penduduk serta sukarelawan yang hadir membantu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan atas sumbangan yang diberikan bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Terima kasih juga kepada penduduk Parit Mahang khususnya Wak Buhari, Hairunazi, para petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan ibadah korban pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahadzir berkata, agihan daging korban akan diteruskan pada sebelah petang kepada penduduk sekitar kawasan DUN Senggarang dan Batu Pahat sebagai usaha menyantuni masyarakat serta menghayati semangat Aidiladha.
Tambah beliau, program seumpama itu bukan sahaja menghidupkan syiar Islam, malah menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Semoga semangat pengorbanan, kebersamaan dan kasih sayang yang ditunjukkan hari ini terus menyatukan masyarakat kita,” katanya lagi.





