AIDILADHA sentiasa membawa suasana penuh makna kepada umat Islam apabila masjid, surau dan kawasan kejiranan kembali hidup dengan pelaksanaan ibadah korban selain memperlihatkan semangat kebersamaan serta gotong-royong masyarakat dalam menghidupkan syiar Islam.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan sambutan itu, satu aspek yang semakin wajar diberikan perhatian ialah soal keselamatan ketika proses pengendalian haiwan korban dijalankan.
Setiap tahun, insiden peserta korban cedera akibat dipijak, ditanduk atau dirempuh haiwan korban terus dilaporkan. Ada mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah anggota badan. Tidak kurang juga kejadian haiwan terlepas daripada kawalan sehingga memasuki jalan raya dan membahayakan keselamatan orang ramai.
Lebih menyedihkan, kejadian berkaitan ketika proses mengorbankan haiwan dijalankan kini turut meragut nyawa apabila seorang lelaki dilaporkan maut, pada Khamis ketika persiapan ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram selepas ditanduk oleh kerbau.
Walaupun ada yang menganggap kejadian sedemikian sebagai risiko biasa dalam proses mengendalikan haiwan besar, hakikatnya ia memperlihatkan masih terdapat ruang penambahbaikan dari sudut pengurusan dan kawalan keselamatan pelaksanaan ibadah korban.
Sebagai syiar Islam yang mulia, ibadah korban sewajarnya dilaksanakan dalam keadaan lebih teratur, tertib dan selamat walaupun semangat sukarela dan gotong-royong masyarakat sememangnya amat dihargai, selain ia tidak boleh menjadi satu-satunya sandaran jika pengendalian haiwan dilakukan tanpa kemahiran dan pengetahuan sewajarnya.
Ramai yang tampil membantu program korban hadir atas dasar tanggungjawab agama dan semangat kejiranan namun, pengalaman menyertai ibadah korban saban tahun tidak semestinya menjadikan seseorang benar-benar mahir mengendalikan haiwan yang mempunyai kekuatan luar biasa serta mudah bertindak agresif apabila berada dalam keadaan panik.

Justeru, sudah tiba masanya satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih komprehensif dan praktikal diperkenalkan bagi memastikan pengurusan ibadah korban berjalan lancar serta selamat, di samping bekerjasama antara pejabat agama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi merangka garis panduan lebih jelas berkaitan pengendalian haiwan korban.
Langkah sedemikian termasuk menyediakan latihan asas kepada individu yang terbabit dalam proses menambat, merebahkan dan menyembelih haiwan, di mana teknik pengendalian itu penting bagi mengelakkan haiwan terlepas kawalan atau bertindak liar sehingga mendatangkan kecederaan kepada petugas serta orang ramai.
Dalam masa sama, penggunaan kaedah pengurusan moden juga perlu dipertimbangkan terutama membabitkan haiwan bersaiz besar berikutan pelaksanaan ibadah korban bukan sahaja melibatkan tuntutan agama, tetapi turut memberi gambaran terhadap imej Islam di mata masyarakat.
Insiden haiwan mengamuk atau peserta korban bertempiaran lari yang tular di media sosial sehingga ada nyawa terkorban boleh menimbulkan persepsi kurang baik terhadap pengurusan ibadah berkenaan, sedangkan Aidiladha membawa nilai besar berkaitan disiplin, pengorbanan dan ihsan yang sepatutnya diterjemahkan dalam setiap aspek pelaksanaannya.
Oleh itu, pelaksanaan ibadah korban perlu bergerak seiring dengan tuntutan keselamatan dan profesionalisme supaya syiar Islam terus dipandang mulia, selain mengelakkan kecuaian yang boleh mengundang risiko terhadap nyawa dan keselamatan masyarakat.





