KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi petunjuk bahawa Belanjawan 2027 akan disusun dengan pendekatan lebih berdisiplin dan berhemat susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu turut dipengaruhi ketegangan geopolitik membabitkan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Menurut beliau, semua kementerian perlu mula merangka langkah penjimatan serta meninggalkan budaya kerja secara silo bagi memastikan pengurusan kewangan lebih cekap dan selari dengan cabaran ekonomi semasa.
“Serangan ini (ke atas Iran) menyebabkan masalah ekonomi (dan) kita juga terjejas. Jadi jangan ambil sikap sambil lewa atau remeh.
“Bila saya mahu buat keputusan, umpamanya baru-baru ini, memang kita minta kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Rayulah bagaimanapun mesti ada pengurangan belanjawan kerana mustahil tidak boleh berlaku penjimatan dalam (keseluruhan peruntukan bernilai) RM20 bilion. Banyak bidang boleh dijimatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kepimpinan tertinggi kementerian perlu mempunyai kefahaman menyeluruh terhadap aspek ekonomi bagi memastikan usaha penjimatan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau bagaimanapun menegaskan langkah pengurangan kos itu tidak akan menjejaskan usaha memperkasa penerbitan buku, meningkatkan mutu pendidikan serta menyediakan kemudahan asas pendidikan yang lebih baik.
“Sekarang semua harus waras dan bijak (untuk) tahu masalah, perbaiki, ambil kesempatan dalam lompongan kelemahan. Dalam fikah pun disebut fiqh aulawiyat, iaitu ada keutamaannya.
“Perbaiki (dan) kurangkan kos yang perlu, selain pada masa sama menetapkan keutamaan,” katanya.





