
SARATOK – Sebanyak 19 ekor lembu korban yang dianggarkan bernilai RM147,000 disumbangkan oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka bagi menjayakan sambutan Aidiladha di kawasan tersebut pada tahun ini.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, sumbangan berkenaan diagihkan kepada jawatankuasa masjid, surau, kampung serta agensi kerajaan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan masyarakat setempat.
Menurutnya, antara penerima sumbangan tersebut termasuklah Jawatankuasa Surau Darul Iman, Surau Darul Muafiqin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Roban serta Badan Amal Ibadah dan Kebajikan Islam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Turut menerima agihan lembu korban ialah Surau Balai Bomba, JKKK Kampung Bunga Raya Hulu, JKKK Kampung Bunga Raya, Surau Silatur Rahim, Surau At-Taqwa Kampung Tanjung Tengah, Surau Cahaya Islam, Masjid Kampung Kaba, JKKK Kampung Pagan dan beberapa kawasan lain di dalam DUN Kalaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ibadah Korban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di Rumah Sri Krian, IPD Saratok pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, program ibadah berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, malah turut membuka ruang perbincangan berkaitan keperluan infrastruktur untuk kemudahan anggota keselamatan.
“Dalam kesempatan menyertai program di IPD Saratok pagi ini (Khamis), saya turut berbincang dengan Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengenai beberapa perkara termasuk cadangan pembinaan surau baharu untuk IPD ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran ibadah korban di seluruh kawasan DUN Kalaka tahun ini.
“Semoga usaha yang dilaksanakan ini mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT serta terus memperkukuh perpaduan dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.





