
SARATOK – Pekebun kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menarik nafas lega apabila projek jalan ladang yang dinanti-nantikan mereka berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, penyiapan projek infrastruktur tersebut merupakan hadiah istimewa daripada kerajaan Sarawak sempena sambutan Hari Gawai pada tahun ini.
Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang bakal memberikan manfaat besar, khususnya kepada pekebun kecil kelapa sawit di kawasan terlibat.
“Dua projek jalan ladang yang telah siap dinaik taraf adalah Jalan Ladang Ulu Lun di Sebetan yang bernilai RM400,000 dan Jalan Ladang Tinting Bangkit di Kerupok bernilai RM100,000.
“Pembangunan jalan ladang ini amat penting dalam membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, terutama golongan pekebun kecil,” katanya.
Mengulas lanjut, Friday berkata, kemudahan laluan yang lebih baik membolehkan aktiviti ekonomi berjalan lancar selain memudahkan urusan pengangkutan hasil pertanian keluar dari kawasan ladang.

Tambah beliau, keadaan infrastruktur yang sempurna turut membantu meningkatkan produktiviti berikutan pekebun kecil kini dapat bergerak dengan lebih selamat dan pantas.
“Inisiatif ini secara langsung mampu melonjakkan pendapatan pekebun kecil, sekali gus merancakkan lagi ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kemudahan yang disediakan kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dijaga dengan baik demi kegunaan jangka panjang.
Tegasnya lagi, kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk terus memberikan tumpuan terhadap pembangunan di kawasan luar bandar, khususnya penyediaan kemudahan asas yang memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.
Turut hadir wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, pegawai BDDA, pihak kontraktor serta penduduk setempat yang menjadi penerima manfaat.





