
SATU… dua… tiga… Demikian laungan keramat oleh penonton sepak takraw tanah air setiap kali pasukan kesayangan mereka membuat libasan.
Selepas sekian lama sorakkan itu tenggelam selepas kemerosotan kini laungan kini bergema kembali di Stadium Titiwangsa yang menjadi gelanggang keramat hari ini.
Sorakan penyokong bergema. Wajah pemain Malaysia dipenuhi semangat dan air mata kegembiraan.
Di seberang gelanggang, Thailand yang sekian lama mendominasi sepak takraw dunia akhirnya terpaksa akur — Malaysia kini bukan lagi pasukan belasahan, sebaliknya kembali muncul sebagai kuasa besar dunia.
Inilah senario yang berlaku semasa pertandingan Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Stadium Titiwangsa baru-baru ini.
Bagi peminat sepak takraw tanah air, kejayaan hari ini bukan sekadar kemenangan biasa. Ia adalah simbol kebangkitan maruah sebuah negara selepas puluhan tahun tenggelam dalam kekecewaan.
Suatu ketika dahulu, Malaysia pernah menjadi antara pasukan paling digeruni dunia.
Nama-nama legenda seperti Adnan Saidin, Salim Yusuf, Zahir Awang, Sahak Yassin dan Nor Rani Adnan pernah mengangkat martabat negara melalui aksi luar biasa mereka di gelanggang.
Namun selepas era kegemilangan itu, terutama sekitar tahun 1990-an, sepak takraw negara mula merudum.
Malaysia gagal melahirkan pemain bertaraf dunia secara konsisten, manakala Thailand terus mengukuhkan penguasaan mereka hingga dianggap terlalu hebat untuk dicabar.
Minat peminat terhadap sepak takraw juga semakin pudar. Ramai mula menganggap Malaysia sudah jauh tertinggal.
Tetapi semua itu mula berubah apabila Malaysia mencipta kejutan menewaskan Thailand pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024. Ketika itu, ramai menganggap kemenangan tersebut sekadar nasib.
Namun kemenangan demi kemenangan selepas itu membuktikan bahawa Malaysia benar-benar sedang bangkit.
Kejayaan dalam acara regu dan kuadran pada Piala Asia 2025 menjadi bukti bahawa skuad negara kini berada di landasan tepat.
Kemuncak kebangkitan hadir apabila Malaysia merangkul emas acara berpasukan di Sukan SEA 2025 sekali gus menamatkan kemarau selama 34 tahun iaitu satu pencapaian yang cukup luar biasa, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di bumi Thailand sendiri.
Terbaharu, kejayaan Malaysia dalam acara kuadran dan bergu berpasukan sekali lagi mengesahkan bahawa negara kini kembali menjadi pencabar utama dunia.
Apa sebenarnya rahsia kebangkitan ini?
Penulis percaya jawapannya terletak kepada revolusi taktikal yang dilakukan oleh jurulatih negara.
Selepas bertahun-tahun gagal mencari formula terbaik, akhirnya Malaysia berjaya menemui corak permainan baharu yang lebih moden dan sukar dibaca lawan.
Jika dahulu Malaysia terlalu bergantung kepada killer untuk mencari mata, kini pendekatan itu sudah berubah sepenuhnya.
Pada era lama, pasukan negara sering menggunakan dua ‘killer’ bagi memastikan serangan lebih agresif.
Strategi itu memang pernah membawa kejayaan dan melahirkan ramai ‘killer’ hebat. Namun lama-kelamaan, Thailand berjaya membaca corak tersebut hingga Malaysia kehilangan kelebihan.
Hari ini, pasukan negara tampil dengan identiti baharu.
Tekong kini menjadi senjata utama Malaysia.
Servis yang dilakukan tekong negara bukan sahaja deras dan tajam, malah cukup mengelirukan lawan.
Banyak pasukan kini mengakui servis Malaysia antara yang paling sukar dikawal di dunia.
Tidak hairanlah lahirnya pemain seperti Muhammad Syahir Mohd Rosdi yang kini dianggap antara tekong terbaik dunia. Selain beliau, Zulkifli Abd Razak dan Muhammad Haziq Hairul Nizam turut memainkan peranan besar dalam kebangkitan skuad negara.
Tekong-tekong ini bukan sahaja memiliki servis berbisa, malah sangat bijak membuat placing ketika menerima bola lawan.
Mereka mampu menghuru-harakan pertahanan lawan hanya melalui servis yang sukar dijangka.
Inilah kekuatan baharu Malaysia hari ini.
Malah perubahan ketara turut dapat dilihat pada permainan ‘killer’ negara.
Jika dahulu ‘killer’ banyak menggunakan libasan keras seperti lipat gunting, gulung dan libas pari, kini kebanyakan pemain lebih gemar menggunakan teknik lipat maniam atau ‘sunback spike’.
Walaupun teknik ini tidak sekuat libasan gulung atau gunting, ia lebih efektif kerana membolehkan bola dijatuhkan dengan lebih tepat dan sukar dihalang.
Killer utama negara seperti Azlan Alias misalnya cukup bijak menggunakan teknik tersebut untuk memperdayakan lawan.
Gerakan mengacah sebelum melakukan ‘placing’ sering menyebabkan pemain lawan tersilap langkah.
Mungkin teknik ini kurang dramatik di mata penonton, namun dari sudut keberkesanan, ia jauh lebih berbahaya.
Thailand kini tidak lagi boleh mendabik dada sebagai kuasa mutlak sepak takraw dunia. Jika mereka terus menggunakan corak lama tanpa perubahan, tidak mustahil negara itu akan terus dicabar dan ditewaskan.
Namun Malaysia juga tidak boleh terlalu selesa.
Kebangkitan pasukan seperti India dan Myanmar membuktikan persaingan dunia sepak takraw kini semakin terbuka.
Apa yang pasti, Malaysia akhirnya berjaya keluar daripada zaman gelap yang menghantui sukan ini sejak sekian lama.
Daripada sebuah pasukan yang pernah dipandang lemah, Malaysia kini kembali berdiri megah di pentas dunia.
Dan jika momentum ini terus dipertahankan, tidak mustahil suatu hari nanti dunia akan kembali mengiktiraf Malaysia sebagai raja sebenar sepak takraw dunia.





