
KOTA KINABALU – Sambutan Pesta Kaamatan 2026 di Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association dijangka dibanjiri puluhan ribu pengunjung pada 30 dan 31 Mei ini dengan aspek keselamatan terus menjadi keutamaan penganjur.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joachim Gunsalam berkata, pelbagai pengisian menarik telah disusun termasuk penganjuran Kaamatan International Week pada 29 Mei yang menampilkan hidangan ‘jungle food’ berasaskan makanan tradisional Sabah.
“Program seperti Exchange Program turut dilaksanakan bagi mengetengahkan kebudayaan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) kepada generasi muda agar warisan tersebut terus dipelihara dan dihayati.
“Langkah keselamatan dipertingkat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran sambutan terutama ketika kemuncak perayaan.
“Penganjur menetapkan penjualan minuman beralkohol import tidak dibenarkan di rumah-rumah tradisi, namun minuman tradisional masih boleh dihidangkan sebagai sebahagian daripada amalan budaya.
“Perkhidmatan bas ulang-alik turut disediakan bermula seawal pagi hingga malam bagi memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang festival,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Joachim turut menasihatkan pengunjung agar sentiasa menjaga keselamatan diri serta menghormati kepelbagaian budaya dan makanan yang disajikan, selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi teras sambutan Kaamatan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Kaamatan 2026 dalam suasana harmoni, selamat dan penuh tanggungjawab.





