
KUCHING – Pelaksanaan kod baharu menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mendapat sokongan jitu daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam usaha membendung kanak-kanak daripada terus terdedah kepada bahaya di alam siber.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan bahawa kebimbangan terhadap isu buli siber, jenayah seksual serta pengantunan di internet kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Oleh itu, beliau menekankan tanggungjawab menangani masalah ini tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan atau Kementerian Komunikasi semata-mata, sebaliknya menuntut penggemblengan tenaga secara menyeluruh daripada pihak komuniti, ibu bapa dan penyedia perkhidmatan digital.
Menurut beliau, persekitaran digital yang selamat dan membina hanya dapat direalisasikan sekiranya semua pihak termasuk syarikat platform digital dan ibu bapa mengambil langkah proaktif bersama-sama, berbanding hanya bergantung kepada insiatif pihak berkuasa.
Di samping itu, tahap kesedaran mengenai keselamatan di internet harus disebarluaskan supaya golongan kanak-kanak lebih arif mengenai takrifan buli siber, seperti penggunaan bahasa kesat di platform media sosial.
Langkah pencegahan ini amat kritikal kerana ada sebahagian daripada mangsa yang mengalami gangguan emosi akibat insiden tersebut tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang dibuli secara dalam talian.
Mengulas lanjut, Nancy berkata kementeriannya sentiasa menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Komunikasi bagi memastikan penguatkuasaan kod tersebut berjaya melindungi golongan bawah umur.
Jelasnya lagi, sungguhpun akta itu ditadbir urus oleh Kementerian Komunikasi, KPWKM akan bertindak secara agresif untuk terus menyalurkan sebarang laporan mahupun aduan yang diterima berkaitan kanak-kanak agar tindakan pantas dan sewajarnya dapat diambil.
Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut pada sesi sidang akhbar sejurus selesai majlis perasmian Program Rhythm (Ritma Kehidupan Harmoni) yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak pada Ahad.
Sementara itu, sewaktu mengulas mengenai Program Rhythm, Nancy memberitahu bahawa peruntukan bernilai RM5 juta telah disalurkan bagi menyokong penganjuran inisiatif tersebut pada peringkat kebangsaan.
Objektif utama program kesihatan dan terapi ini adalah untuk meningkatkan kualiti serta kesejahteraan hidup Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, dengan sasaran penyertaan seramai 6,500 individu dari seluruh Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Secara keseluruhannya, projek ini merangkumi 133 siri Program Terapi OKU, 133 Program Sihat Warga Emas serta enam penganjuran Seminar Penjagaan.
Bagi Sarawak secara khusus, kempen ini membawa 10 Program Terapi OKU, 12 Program Sihat Warga Emas dan juga sesi seminar berkaitan penjagaan dan terapi. Berdasarkan rekod pada hari pelancaran tersebut, program berkenaan telah berjaya menghimpunkan 400 peserta yang terdiri daripada para sukarelawan, belia dan warga emas.
Sebagai makluman tambahan, penguatkuasaan dua piawaian baharu menerusi ONSA, iaitu Kod Pengurangan Risiko (RMC) dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC), dijadualkan bermula pada 1 Jun depan.
Langkah ketat ini dikuatkuasakan bagi memaksimumkan keselamatan kanak-kanak di samping menggesa pengendali platform digital agar bertindak lebih berkesan dalam menapis kandungan yang membawa mudarat.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




