KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi mendedahkan platform Facebook ketika ini digambarkan gagal memberikan kerjasama untuk usaha membanteras kandungan penipuan dan judi dalam talian yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata,
wakil Facebook juga gagal menghadiri permukiman selama tiga hari itu yang menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan pemain industri bagi memperkukuh kerjasama memerangi penipuan dalam talian.
“Facebook sebelum ini menerusi syarikat induk, Meta berjanji kepada Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bahawa mereka akan hadir pemukiman ini, namun nampaknya mereka gagal berbuat demikian.
“Saya serahkan kepada MCMC untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan platform Facebook mematuhi undang-undang negara serta memberi kerjasama lebih baik.
“Saya rasa mungkin perlu diambil tindakan perundangan. MCMC akan hubungi mereka, berikan mereka peluang terakhir untuk buktikan mereka mahu bekerjasama dengan kerajaan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis penutupan Pemukiman Membanteras Penipuan Dalam Talian di Pusat Konvensyen Connexion, Bangsar South, pada Ahad.
Fahmi bagaimanapun memuji kerjasama oleh TikTok yang menurutnya sering memberikan maklum balas memberangsangkan kepada kerajaan Malaysia mengenai isu keselamatan dalam talian.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MCMC ketika ini terpaksa memperuntukkan masa yang panjang untuk memfailkan permohonan penurunan kandungan kepada platform media sosial.
“Secara purata, antara 30 hingga 45 minit diperlukan untuk memfailkan setiap permohonan penurunan kandungan. Jika dikumpulkan, ia bersamaan 19.36 tahun tenaga kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Saya sarankan pihak MCMC menghantar bil kepada syarikat-syarikat platform media sosial ini kerana telah membazir waktu kita,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, sejak 1 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon sebanyak 271,472 kandungan diturunkan, 91 peratus daripadanya membabitkan kandungan penipuan dan judi dalam talian.
“Daripada jumlah itu, 81 peratus kandungan judi dalam talian dikesan berada di platform Facebook manakala 58 peratus kandungan penipuan juga melibatkan platform sama,” katanya.




