PUTRAJAYA – Bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli seharusnya mencontohi pendekatan yang dilakukan mantan Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin yang mengambil pendekatan matang dan profesional selepas membuat keputusan meninggalkan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, situasi itu sukar untuk dilihat ketika ni namun Razeef mengambil pendirian berbeza untuk tidak menyerang atau membuka aib pihak lain walaupun berbeza haluan.
Menurut beliau, perbezaan politik tidak semestinya berakhir dengan permusuhan dan sikap profesional seperti ditunjukkan Razeef wajar dicontohi Rafizi agar tidak bersikap ego sehingga menyerang bekas parti yang selama ini menjadi laluan beliau dalam arena politik.
“Walaupun beliau mempunyai sejarah perjuangan yang sangat panjang bersama Rafizi dalam pemilihan parti pada tahun 2018, 2022, dan 2025, beliau tetap menjaga batas persahabatan dan rasa hormat (terhadap rakan rakan dari PKR).
“Beliau memilih untuk tidak mengungkit kisah sepanjang 20 tahun perjuangan bersama parti. Apa yang paling saya hormati, beliau langsung tidak berniat untuk menghentam parti, menyerang kerajaan atau memburukkan rakan-rakan yang masih kekal dalam parti.
“Sepanjang 20 tahun berkawan, saya mengenali beliau sebagai seorang yang sangat ‘gentleman’, mempunyai prinsip yang kuat dan sentiasa profesional dalam apa jua keadaan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, David berkata, setiap pemimpin dan ahli PKR harus meneruskan perjuangan memacu agenda reformasi selain hentikan segala tindakan yang menjadi barah kepada perjuangan parti.
“Sebagai senior dari segi umur dan keanggotaan dalam perjuangan ini, saya meminta dan merayu dengan setulus hati, beri ruang untuk kita terus memacu agenda reformasi dengan tenang.
“Hentikan tindakan yang menjadi barah kepada perjuangan kita. Muhasabahlah sebelum Tuhan menarik semula nikmat kuasa yang dipinjamkan ini. Reformasi tetap berjalan, perjuangan belum selesai,” katanya.
Terdahulu, Razeef mengumumkan peletakan kesemua jawatannya dalam PKR, Isnin lalu.
Serentak itu, beliau yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah mengiystiharkan keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta dan permohonan pembatalan sebagai ahli PKR itu sudah dibuat menerusi aplikasi Adil.





