Rajuk politik: Langkah Rafizi dan Nik Nazmi menuju ke ‘pusara’ politik?

RAMAI pemerhati politik melihat langkah Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan perjuangan lama untuk membina wadah baharu sebagai satu perjudian politik yang sangat besar malah mungkin perjudian paling berisiko dalam karier mereka sendiri.

Dalam sejarah politik negara, parti serpihan jarang benar mampu bertahan lama. Rakyat sudah menyaksikan bagaimana Semangat 46 akhirnya tenggelam selepas gagal mengekalkan momentum.

Begitu juga dengan Bersatu yang kini kapalnya semakin karam dek kerana ahlinya yang sudah digantung dan dipecat hingga ramai ahlinya sudah berhijrah ke parti lain.

Manakala parti-parti kecil lain hanya muncul seketika sebelum hilang daripada radar politik negara.

Hakikatnya mudah iaitu rakyat Malaysia, khususnya pengundi Melayu luar bandar, bukan mudah mahu menukar kesetiaan kepada parti yang baru tumbuh semalam.

Bagi pengundi di kampung dan pekan kecil, simbol parti lebih kuat daripada retorik intelektual pemimpin. Mereka membesar dengan identiti politik yang sudah berakar puluhan tahun.

Sebab itu parti seperti PKR sendiri mengambil masa yang sangat panjang untuk diterima rakyat. Ia tidak berlaku dalam sekelip mata.

Justeru, jika ada yang merasakan hanya dengan beberapa sidang media, ceramah emosional dan slogan reformasi baharu mampu mengubah landskap politik negara, itu mungkin satu bacaan politik yang terlalu romantik dan jauh daripada realiti akar umbi.

Lebih memeritkan, tindakan keluar parti selepas tewas dalam perebutan kuasa mudah dilihat rakyat sebagai sikap tidak mampu menerima kekalahan.

Dalam politik, kalah dan menang adalah lumrah. Pemimpin yang benar-benar besar ialah pemimpin yang tetap berdiri mempertahankan perjuangan walaupun dipukul ombak kekalahan.

Bukan pemimpin yang cepat mengangkat kaki apabila impian politik tidak menjadi kenyataan.

Sebab itu ramai membandingkan mereka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun perbandingan itu sebenarnya terlalu jauh.

Bagi penulis, Anwar membina pengaruh politik sejak zaman mahasiswa lagi. Ketokohannya bukan muncul selepas menjadi menteri, tetapi sudah terpahat lama sebagai tokoh pidato, pemikir dan simbol gerakan reformasi.

Ketika beliau disingkirkan daripada kuasa, beliau tidak membawa sekadar nama tetapi beliau berjaya membawa gelombang rakyat.

Itulah bezanya pemimpin yang lahir daripada perjuangan dengan pemimpin yang lahir daripada jawatan.

Rakyat boleh menilai sendiri. Ketika diberi peluang berada dalam Kabinet, apakah benar kepimpinan Rafizi dan Nik Nazmi begitu luar biasa sehingga rakyat sanggup meninggalkan parti lama demi mengikuti mereka?

Adakah aura mereka benar-benar mampu menggoncang politik negara? Atau mereka sebenarnya hanya kuat ketika menjadi pengkritik, tetapi tenggelam apabila berada dalam pentadbiran?

Bagi penulis, politik bukan medan untuk individu yang mudah kecewa. Politik menuntut kesabaran, ketahanan mental dan kesetiaan terhadap perjuangan walaupun tidak berada di puncak kuasa.

Jika menghadapi kekalahan dan terus mahu membuka khemah baharu, sampai bila rakyat mahu percaya bahawa perjuangan itu benar-benar untuk negara, bukannya sekadar cita-cita peribadi?

Lebih buruk, langkah meninggalkan parti selepas mendapat mandat rakyat atas tiket parti lama boleh menimbulkan persepsi pengkhianatan terhadap penyokong sendiri. Pengundi memilih mereka bukan semata-mata kerana nama individu, tetapi kerana lambang dan perjuangan parti yang mereka wakili ketika pilihan raya.

Kini persoalan besar mula timbul iaitu adakah tindakan mereka benar-benar demi rakyat, atau sebenarnya kerana kecewa gagal mendaki tangga kuasa lebih cepat daripada yang diharapkan?

Akhirnya sejarah politik Malaysia sentiasa kejam terhadap pemimpin yang terlalu yakin dengan populariti sendiri. Ramai sebelum ini menyangka mereka cukup besar untuk mencipta ombak baharu, tetapi akhirnya tenggelam ditelan masa.

Nama pernah gah, sorakan pernah kuat, namun akhirnya tinggal nostalgia dan keratan akhbar lama sahaja.

Jika silap percaturan, tidak mustahil langkah ini akan menjadi titik mula kepada pengakhiran karier politik mereka sendiri.

Related Posts

UMNO tutup buku MN, agenda itu telah berakhir

KUALA LUMPUR – UMNO tidak berhasrat menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kerana menganggap kerjasama tersebut sudah berakhir dan tidak lagi menjadi agenda parti itu. Pengerusi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Istiadat Pemasyhuran Tunku Datuk Seri Nadzaruddin di Melaka tak sah, tidak boleh diiktiraf

SEREMBAN –  Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMS Hospitality Fiesta 2.0 beri pendedahan awal suasana sebenar industri hospitaliti

UMS Hospitality Fiesta 2.0 beri pendedahan awal suasana sebenar industri hospitaliti

DBKK perkukuh usaha jaga kebersihan perkampungan air sokong pelancongan

DBKK perkukuh usaha jaga kebersihan perkampungan air sokong pelancongan

Kepimpinan Bersatu Besut letak jawatan, isyarat krisis dalaman semakin parah

Kepimpinan Bersatu Besut letak jawatan, isyarat krisis dalaman semakin parah

12 PATI warga Myanmar bersembunyi dalam hutan ditahan PGA

12 PATI warga Myanmar bersembunyi dalam hutan ditahan PGA

Ceraikan Bersatu hanya alasan keluar PN untuk bersama Hamzah dan Reset

Ceraikan Bersatu hanya alasan keluar PN untuk bersama Hamzah dan Reset

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS

Pembukaan SA Mart di Mahkota Square bantu perluas pasaran produk IKS