
KEMAMAN – Ketua Cabang PKR Kemaman, Ahmad Nazri Yusof menegaskan cabang berkenaan kekal utuh dan stabil termasuk sayap Wanita serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) meskipun Timbalan Ketua Cabang, Affandi Mohammad bertindak meletak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, tindakan individu tertentu meninggalkan parti bukan perkara baharu dalam sejarah perjalanan Cabang PKR Kemaman dan tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan organisasi parti di peringkat akar umbi.
“Cabang Kemaman kekal utuh, tersusun dan terus setia bersama kepimpinan Presiden parti. Wanita dan AMK juga kekal bersama perjuangan parti serta meneruskan gerak kerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, sepanjang perjalanan politik cabang tersebut, sudah beberapa kali berlaku episod keluar parti melibatkan individu tertentu namun kebanyakannya akhirnya kembali semula selepas menyedari perjuangan PKR masih relevan dan mendapat sokongan rakyat.
“Perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini pun ada yang keluar parti dengan sidang akhbar dan pelbagai kenyataan, tetapi selepas dua tahun mereka memohon masuk semula secara senyap-senyap,” katanya.
Ahmad Nazri berkata, tindakan keluar parti secara dramatik dan disusuli publisiti media lebih bersifat gimik politik serta tidak menggugat kekuatan sebenar parti di peringkat cabang.
Menurut beliau, ahli-ahli di Kemaman semakin matang dan memahami bahawa perjuangan parti tidak bergantung kepada individu tertentu semata-mata.
“Kita tidak tergugat dengan gimik politik seperti ini. Parti akan terus bergerak seperti biasa dan fokus kepada agenda rakyat serta pengukuhan organisasi,” katanya lagi.
Beliau pada masa sama mengucapkan selamat maju jaya kepada mana-mana pihak yang memilih untuk meninggalkan parti dan menegaskan PKR Kemaman akan terus memperkukuhkan gerak kerja menghadapi cabaran politik semasa.
“Bagi pihak cabang, kita ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang memilih haluan berbeza. Namun perjuangan reformasi dan agenda parti akan tetap diteruskan dengan komitmen seluruh jentera cabang,” katanya.






