
KUANTAN – Seramai 25 kakitangan FGV Agri Services di FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, menerima bantuan Bakti Negeri (BN) Pahang, hari ini.
Sumbangan barangan keperluan asas itu disampaikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman.
Inisiatif BN Pahang itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada April lalu.
“Menerusi BN Pahang, setiap kawasan DUN menerima peruntukan RM15,000 setiap minggu bagi mengagihkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.
“Usaha ini adalah bagi meringankan beban penduduk terbabit susulan krisis berpanjangan di Asia Barat,” kata Norsarfinaz.
Majlis penyampaian BN Pahang itu diadakan di bilik mesyuarat FGV Agri Services dan turut dihadiri Pengurus FELDA Jengka 24, Saiful Mohd Puzi dan Ketua Peneroka FELDA itu, Razak Daud.
Selain bantuan BN Pahang, kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan lain kepada penduduk bagi memastikan kebajikan mereka terjaga ketika situasi ekonomi tidak menentu.





