KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat sokongan sewajarnya bagi menghadapi tekanan kos operasi serta ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap dasar dan langkah intervensi ekonomi yang dirangka kerajaan akan mengambil kira situasi sebenar industri supaya bantuan yang disalurkan dapat memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini turut mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mengenai kesan rantaian bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.
Katanya, pembentangan itu penting bagi memberi gambaran lebih jelas kepada kerajaan mengenai cabaran yang sedang dihadapi pihak industri sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.
“Ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyediakan kemudahan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu PKS mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.
Selain itu, katanya, jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM5 bilion turut disediakan untuk membantu sektor yang terkesan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan akan dilakukan secara seimbang bagi mengukuhkan kawalan ketirisan tanpa menjejaskan operasi perniagaan serta rantaian bekalan negara.
Mengenai strategi jangka panjang menghadapi ketidaktentuan pasaran global, Anwar berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas selain mengekang tekanan kenaikan harga serta memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
“Libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara,” katanya.




