Tindakan lepas kerusi Parlimen perlu ambil kira suara pengundi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen disaran menamatkan tempoh perkhidmatan masing-masing sehingga Parlimen dibubarkan dan tidak mengambil keputusan mengosongkan kerusi ketika penggal masih berbaki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab terhadap pengundi yang telah memberikan mandat kepada mereka pada pilihan raya.

Menurut beliau, pengundi mengharapkan wakil rakyat terus berada di kawasan bagi membantu menyelesaikan masalah serta membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.

“Kasihanlah pada rakyat, pengundi di (Parlimen) Pandan. Sebab pada saya, mereka (rakyat) mengharapkan wakil rakyat itu ada. Paling tidak pun bolehlah dia (rakyat) nak ketuk pintu kalau tak puas hati ke, tak dapat bantuan ke.

“Tapi mungkin dia (Ahli Parlimen itu) ada sebab-sebab tertentu. Tapi saya harap dalam parti BN (Barisan Nasional), sesiapa yang ada niat yang sama, bagi selesaikan khidmat kepada rakyat dululah.

“Maknanya selagi Parlimen tak dibubar, dalam tahun perkhidmatan itu, lima tahun, selesaikanlah. Lepas itu kalau mahu bertanding, masuk parti lain ke, terpulanglah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 anjuran Asian International Arbitration Centre di Auditorium AIAC, di sini, hari ini.

Azalina mengulas tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum tamat penggal.

Beliau berkata, keputusan sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa semangat undang-undang anti lompat parti tidak dihormati sepenuhnya.

Dalam pada itu, Azalina menegaskan pandangan pengundi perlu diambil kira sebelum seseorang wakil rakyat membuat keputusan untuk melepaskan kerusi disandang.

Katanya, rakyat yang keluar mengundi mahu wakil rakyat yang dipilih menamatkan tempoh khidmat sehingga akhir penggal.

“Ahli politik, Ahli Parlimen, dia boleh ikut budi bicara dia sendiri, tindakan dia sendiri. Tapi yang penting rakyat yang mengundi. Rakyat macam saya di (Parlimen) Pengerang, mungkin mereka mahukan wakil rakyat habiskan tempoh (penggal).

“Tapi mungkin sebagai pemimpin, mereka ada pandangan mereka sendiri. Saya nak komen-komen lebih pun tak boleh. Tapi kadang takut rakyat marah dengan mereka sudah penat-penat pergi mengundi,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan menghantar notis pemakluman pengosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Parlimen ke-15 kini masih berbaki kira-kira 18 bulan sebelum terbubar secara automatik.

Related Posts

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

MACHANG – Empat negeri di utara dan Pantai Timur, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu merekodkan kadar pembabitan kes dadah melebihi ambang nasional. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Nik Nazmi direhatkan tiga bulan daripada aktiviti Bersama susulan kes khalwat

PEMIMPIN Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti itu selama tiga bulan susulan pengakuannya ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes khalwat pada 15 Oktober…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

BABSAR 2026 platform gilap bakat seni belia Sabah – Mustapha

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Pendang, Kuala Krai catat kes dadah tertinggi negara

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

Sukan bukan sekadar untuk kesihatan, wadah pupuk perpaduan – Hasbi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

TBS Daro santuni lima keluarga asnaf menerusi Program Baitulmal Sinergi

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Setiap daerah perlu bangunkan produk pelancongan tersendiri – Hajiji

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24

Semangat ‘berderau’ angkat nilai kerjasama komuniti FELDA Jengka 24