
KUCHING – Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) kini ditambah baik untuk membantu lebih ramai rakyat mendepani cabaran kos sara hidup, khususnya dalam usaha mendapatkan kediaman sewaan yang mampu milik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Fathi Hambali berkata, inisiatif berkenaan diperkasa melalui peningkatan had pendapatan isi rumah daripada RM4,556 kepada RM5,504.
Peningkatan ini dijangka akan meluaskan lagi kelayakan dan jangkauan penerima manfaat di seluruh Sarawak.
Di samping itu, tempoh bantuan sewa tersebut turut dipanjangkan daripada 36 bulan kepada 48 bulan bagi memastikan sokongan yang lebih lama dan berterusan dapat diberikan kepada penerima.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada kediaman yang selamat dan mampu disewa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menjelaskan pelaksanaan skim ini kini meliputi 10 daerah di Sarawak.
Daerah yang terlibat merangkumi Kuching, Samarahan, Sibu, Miri, Bintulu, Serian, Siburan, Sri Aman, Betong, dan Mukah.





