PUTRAJAYA – Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi terhadap pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa oleh dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang memaklunkan sehingga kini tiada sebarang surat rasmi diterima termasuk daripada Setiausaha Agung PKR berkaitan perkara tersebut.
“Setakat ini kita belum terima (pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa. Pemakluman daripada Setiausaha Agung PKR pun kita belum diterima.
“Apa yang telah kita terima pagi tadi adalah pemakluman daripada Pejabat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu.
“Ini bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Sehubungan itu, perkara itu sekali gus menimbulkan tanda tanya susulan Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini mengumumkan akan mengosongkan kerusi masing-masing berkuat kuasa, pada Isnin.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan akan memaklumkan pengosongan kerusi Parlimen mereka kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pada Isnin selepas selepas kedua-duanya mengumumkan keluar daripada PKR dan bakal menyertai Parti Bersama Malaysia, Selasa depan.
Tindakan dramatik dua pemimpin kanan itu terus menghangatkan suhu politik negara apabila PKR semalam turut mengesahkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi gugur secara automatik selepas mereka mengisytiharkan keluar parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(c) Perlembagaan parti selepas pihaknya menerima hasrat rasmi kedua-dua pemimpin tersebut untuk meninggalkan PKR.
Perkembangan terbaharu itu juga mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pandan dan Setiawangsa sekiranya proses pengosongan kerusi dimuktamadkan dalam masa terdekat.






