PUTRAJAYA – Ruang akses yang bersifat terhad dan bersyarat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merupakan satu pendekatan yang wajar, selagi prinsip asas kenegaraan terus dipelihara.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, ia membuka ruang kepada bakat tempatan daripada pelbagai latar pendidikan untuk menyumbang kepada pembangunan negara, tanpa mengabaikan asas bahasa, sejarah dan identiti kebangsaan.
Menurut beliau, pendekatan sedemikian bukan bermaksud mengurangkan kepentingan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya memperkukuh sistem pendidikan tinggi yang inklusif, berpandukan kualiti dan tetap menghormati teras Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Sehubungan itu, universiti awam termasuk UTM, sentiasa mendukung usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti. Namun, akses tersebut perlu hadir bersama tanggungjawab, kesediaan akademik dan penghayatan terhadap nilai kebangsaan.
“Dengan pendekatan yang seimbang, Malaysia dapat membangunkan lebih ramai bakat tempatan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memahami jati diri, sejarah dan amanah mereka kepada negara,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.
Terdahulu, Mohd Shafry berkata, kemasukan pelajar ke universiti awam di Malaysia terus berteraskan prinsip kualiti, merit dan pematuhan kepada dasar pendidikan kebangsaan, dengan SPM kekal sebagai laluan utama dalam sistem kemasukan pendidikan tinggi negara.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan, harus diakui bahawa Malaysia mempunyai pelbagai latar pendidikan, termasuk sekolah menengah tahfiz, pondok, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah antarabangsa dan sistem pendidikan lain.
“Dalam hal ini, syarat kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah di peringkat SPM adalah amat penting. Bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran, tetapi bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan negara.
“Sejarah pula membina kefahaman terhadap pembentukan negara, Perlembagaan Persekutuan, masyarakat majmuk dan tanggungjawab kewarganegaraan,” katanya





