PUTERI WANGSA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus membela nasib rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan yang diumumkan dalam Majlis Rahmah Mesra Perdana Menteri bersama Rakyat Johor.
Dalam ucapan beliau, Anwar mengumumkan pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus premis milik agensi Kerajaan Persekutuan sebagai langkah meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang terus berdepan tekanan kos sara hidup.
Beliau turut menekankan bahawa khidmat bakti kerajaan kepada rakyat tidak boleh bersifat bermusim atau hanya menjelang pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan secara konsisten demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan sokongan penuh Kerajaan MADANI terhadap pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang disifatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu serta peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

Beliau berkata, agenda membasmi kemiskinan tegar juga terus menjadi keutamaan nasional kerajaan, dengan pelbagai pendekatan sedang diperkasa bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
Dalam aspek pendidikan pula, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kebajikan pelajar akan terus dipelihara melalui penyelenggaraan tandas dan infrastruktur sekolah yang lebih sempurna serta kondusif.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peningkatan bantuan tunai kepada petugas e-hailing daripada RM200 kepada RM250 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan golongan berkenaan kepada ekonomi negara.
Tegas beliau, Kerajaan MADANI juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dan ketirisan yang menjejaskan hak rakyat serta pembangunan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong permohonan yang dikemukakan Kerajaan Negeri Johor secara profesional tanpa dipengaruhi perbezaan fahaman politik demi kepentingan rakyat.
Sebagai bukti komitmen tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara demi keselesaan penduduk setempat.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memastikan harga bahan api negara kekal antara yang terendah di dunia, dengan harga RM1.99 seliter demi menjaga kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.



