LKIM santuni nelayan Pontian, umum bantuan naik taraf stor dan sokongan lot kerang

PONTIAN – Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil terus memperkukuh hubungan bersama komuniti nelayan apabila turun padang menyantuni kira-kira 50 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian dalam satu program hi-tea anjuran Amanah Pontian, petang Sabtu.

Program tersebut melibatkan nelayan dari beberapa pengkalan utama iaitu Kampung Pulai Sebatang, Kampung Melayu dan Kampung Ayer Baloi yang hadir bagi berkongsi pandangan serta isu dihadapi mereka dalam sektor perikanan pesisir pantai.

Dalam program itu, Faiz turut menyampaikan bakul makanan yang disediakan oleh LKIM sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup nelayan setempat.

Menurut beliau, sesi dialog yang diadakan memberi peluang kepada pihaknya mendengar sendiri keluhan dan cabaran dihadapi golongan nelayan, khususnya berkaitan lesen, kos operasi dan peluang meningkatkan hasil tangkapan.

“Kerajaan MADANI amat menghargai jasa nelayan yang tidak pernah lelah turun ke laut demi memastikan bekalan ikan kepada rakyat sentiasa mencukupi.

“Walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar, kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol pada kadar RM1.65 seliter dengan pembelian harian sehingga 50 liter bagi nelayan pesisir pantai,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti nelayan pesisir pantai tertumpu di kawasan Zon A yang mempunyai keluasan terhad iaitu sekitar lima batu nautika, justeru pengeluaran lesen nelayan perlu dikawal bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan membantu memudahkan proses permohonan lesen sampan khas kepada nelayan yang layak melalui kerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Faiz turut meluluskan permohonan menaik taraf stor nelayan di pengkalan Pulai Sebatang yang mengalami kerosakan bumbung dengan anggaran peruntukan sebanyak RM20,000.

Beliau berkata, kemudahan infrastruktur yang lebih baik amat penting bagi memastikan aktiviti perikanan nelayan dapat dijalankan dengan lebih selesa dan teratur.

Selain itu, beliau turut menyatakan kesediaan LKIM membantu meningkatkan aktiviti tangkapan kerang di Pontian dan meminta segala urusan berkaitan permohonan tanah atau lot kerang disegerakan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.

Program berkenaan diakhiri dengan ziarah kebajikan ke atas Setiausaha Amanah Cawangan Pulai Sebatang, Iskandar yang sedang uzur.

Faiz turut mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan kesihatan.

Related Posts

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

SRI AMAN – Seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Rumah Beredai, Jalan Paip, Spatak Undop telah ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung…

Lebih lanjut

teruskan membaca
IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan

KUCHING – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak mengambil inisiatif proaktif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 dengan mengedarkan Kit 1 Rumah 1…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

Warga emas hilang di Sri Aman ditemukan selamat oleh penduduk kampung

IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan

IPD Kuching, JaPen Sarawak edar kit Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan

Sarawak intai peluang buka laluan penerbangan terus ke Pulau Jeju

Sarawak intai peluang buka laluan penerbangan terus ke Pulau Jeju

Sarawak ketengah pesona ‘Soul of Borneo’ ke persada antarabangsa

Sarawak ketengah pesona ‘Soul of Borneo’ ke persada antarabangsa

Dua keluarga tarik nafas lega, terima manfaat Rumah Kasih Ihsan

Dua keluarga tarik nafas lega, terima manfaat Rumah Kasih Ihsan

59 kilometer jalan utama Kuala Lumpur dinaik taraf, kerja penurapan dibuat waktu malam

59 kilometer jalan utama Kuala Lumpur dinaik taraf, kerja penurapan dibuat waktu malam