KUANTAN – Mesyuarat penyelarasan program Gerakan Setia UMNO peringkat FELDA Jengka 24, Jerantut, diadakan malam tadi.
Program itu akan diadakan pada 30 Mei ini, bertujuan membina momentum awal dan memberi pendedahan awal mengenai budaya politik matang untuk generasi muda.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, ia juga menjadi platform awal dalam mengatur persiapan berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kita perlu memberi pendedahan kepada orang muda untuk terlibat sama dalam mencorakkan masa depan politik.
“Sokongan dan kesedaran daripada kumpulan ini sangat penting dan kita percaya program ini akan mendapat sambutan baik daripada mereka,” katanya.
Razak juga berpandangan Gerakan Setia UMNO akan menjadi permulaan kepada satu gerakan berskala besar bagi mengukuhkan keyakinan generasi muda terhadap UMNO.
Katanya, selain memberi tumpuan kepada anak muda, program juga memfokuskan terhadap sikap pengundi di kawasan FELDA, bukan hanya di Jengka 24, tapi boleh diperluaskan ke kawasan tanah rancangan lain selepas ini.
“Tahap kesedaran politik dalam kalangan anak muda menunjukkan peningkatan yang positif dan semua ini dilihat memainkan peranan penting dalam situasi semasa, menuju PRU ke-16,” jelasnya.




