
KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang menggesa pihak berkuasa agama menyiasat iktikad Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataan kontroversi dibuatnya terhadap sahabat nabi Muhammad SAW, baru -baru ini.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, kenyataan itu boleh mencemarkan imej baik agama Islam dan menjadi teladan tidak baik kepada agama lain.
“Sedangkan karakter beliau seorang yang Islamik tetapi apabila mengeluarkan hujah dan kenyataan adalah bertentangan dengan imej dibawanya.
“Kami sangat kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap satu tindakan tegas perlu diambil terhadap beliau kerana kenyataannya boleh mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Mohd Kamil turut mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf dibuat Nik Muhammad Zawawi.
“Sebelum meminta maaf, beliau menyatakan telah memaafkan orang lain terlebih dahulu dan permohon maaf dibuat hanya selepas menerima tekanan daripada pemimpin partinya sendiri,” jelasnya.
Sebelum ini, tular video memaparkan Nik Muhammad Zawawi mendakwa Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA sebagai ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin ketika zaman jahiliyah manakala Saidina Umar Al-Khattab RA pula digambarkan sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.







