Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menyangkal dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang bahawa 365 unit rumah di Pulau Pinang dimiliki warga China pada purata harga rendah sebaliknya hanya 15 daripadanya dijual menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi mengurangkan lambakan unit siap tidak terjual selepas COVID-19.

Exco Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, terdapat kekeliruan berhubung harga jualan hartanah kepada warga asing selepas pelaksanaan HOC dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah bagi merangsang sektor hartanah susulan kesan pandemik.

Beliau berkata, dasar HOC itu bermula 9 Jun 2020 hingga 9 Jun 2021 kemudian diteruskan menerusi HOC 2.0 sehingga 30 Jun 2022 dan dilanjutkan buat kali ketiga (HOC 2.0 Plus) sehingga 31 Disember 2022 diikuti HOC 3.0 hingga 31 Disember 2023 dan HOC 3.0 Plus sebelum berakhir 31 Disember 2024.

“Semasa pelaksanaan HOC, kerajaan negeri mengurangkan harga had siling bagi pembelian hartanah strata iaitu daripada RM1 juta kepada RM700,000 di kawasan pulau dan RM500,000 kepada RM400,000 di Seberang Perai.

“Manakala bagi hartanah landai, had siling diturunkan daripada RM3 juta kepada RM1.5 juta di kawasan pulau dan RM1 juta kepada RM750,000 di kawasan Seberang Perai.

“Sebahagian hartanah yang dijual semasa HOC didaftarkan pada 2025, maka ini tidak bermakna hartanah berkenaan dijual pada harga rendah pada tahun itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah serta ADUN pembangkang yang mempersoalkan penjualan 365 unit hartanah kepada warga China dengan purata harga RM411,506 membabitkan nilai transaksi keseluruhan RM150.2 juta pada tahun lalu.

Sundarajoo berkata, pengiraan purata harga jualan RM411,506.00 itu tidak menggambarkan situasi sebenar dengan rekod Pejabat Tanah dan Galian menunjukkan daripada keseluruhan 365 unit tersebut hanya 15 unit yang dijual pada harga antara RM400,000 hingga RM1.5 juta berdasarkan HOC yang diluluskan Pihak Berkuasa Negeri.

Beliau berkata, 365 unit yang disebut itu merangkumi pelbagai jenis pemilikan, termasuk kebanyakannya adalah jualan biasa tanpa sebarang pengurangan harga.

“Jualan itu termasuk urus niaga pemindahan antara ahli keluarga serta unit Malaysia My Second Home (MM2H) yang dijual tanpa rebat.

“Pihak pembangkang menggunakan jumlah nilai keseluruhan jualan dan membahagikannya dengan jumlah transaksi untuk mendapatkan angka RM411,000, namun kaedah ini tidak tepat kerana setiap transaksi mempunyai nilai berbeza,” katanya.

Beliau berkata, dasar pengurangan had harga minimum itu tidak dikhususkan kepada pembeli dari China semata-mata sebaliknya terpakai kepada semua warga asing sepanjang tempoh HOC dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri kini mengembalikan semula kadar asal mengikut Garis Panduan Perolehan Hartanah Oleh Bukan Warganegara atau Syarikat Asing Negeri Pulau Pinang selepas dasar HOC itu ditamatkan pada Disember 2024.

“Sekarang kita kembali kepada harga normal. Dasar HOC ini membantu banyak dalam mengurangkan lambakan unit tidak terjual dan kita boleh lihat data overhang kini semakin menurun,” katanya.

Related Posts

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

SERI ISKANDAR — Hospital Seri Iskandar bukan sekadar sebuah fasiliti rawatan baharu, sebaliknya simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh akses kesihatan rakyat serta membawa harapan baharu kepada lebih 94,000 penduduk di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

KANGAR – Empat lelaki warga China direman sehingga 18 Mei ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah serta cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Kuala Perlis, kelmarin. Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan tegas tolak pengampunan untuk Jho Low – Fahmi

Kerajaan tegas tolak pengampunan untuk Jho Low – Fahmi

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

Hospital Seri Iskandar, nadi baharu kesihatan rakyat Perak Tengah

Mari fahami struktur hutang negara

Mari fahami struktur hutang negara

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi