PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad supaya berterus terang sekiranya mereka benar-benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju PKR.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, keperluan untuk dua pemimpin itu untuk keluar daripada PKR secara terhormat sekiranya mereka berdua sudah tidak lagi bersama perjuangan parti.
Beliau menegaskan, ahli dan akar umbi parti tidak boleh dibiarkan terus tertanya-tanya dan parti terus dibebankan dengan polemik yang tidak berkesudahan.
“Politik matang memerlukan kejujuran, bukan sindiran berpanjangan. Kalau benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju parti, maka Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sepatutnya berterus terang kepada anggota parti dan rakyat.
“Jangan terus bermain tarik tali politik sambil mengekalkan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa dan juga terus mempengaruhi penyokong beliau yang ada di dalam PKR,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Terdahulu, Rafizi bersama Nik Nazmi mengumumkan hala tuju politik baru pada 17 Mei ini selepas kedua-duanya meletakkan jawatan dalam Kabinet sebelum ini selepas mereka tewas dalam Pemilihan PKR 2025.
Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tempoh setahun bagi meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menetapkan langkah politik seterusnya.
Majlis pengumuman tersebut akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, PKR dibina atas semangat perjuangan, bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik mengadu domba.
“Anggota di bawah bekerja siang malam mempertahankan kerusi setiap Parlimen mahu pun dewan undangan negeri (DUN) waima ketika susah, bukan untuk melihat pimpinan beragenda peribadi menghantar isyarat yang mengelirukan kepada akar umbi.
“Kita tidak mahu sindiran atau polemik berpanjangan ada dalam parti kerana ianya hanya akan merugikan parti serta penyokong,” katanya.







