PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil secara sukarela ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis bagi memberi keterangan tambahan serta menyerahkan bukti baharu untuk membantu siasatan yang sedang berjalan.
Ini merupakan kali kelima Rafizi dirakam keterangan berkaitan siasatan SPRM berhubung perjanjian pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.
Beliau berkata, surat kepada badan siasatan tersebut telah dihantar pada Ahad lalu bagi memaklumkan hasratnya memberikan maklumat tambahan yang tidak sempat disentuh dalam sesi rakaman keterangan sebelum ini.
Rafizi memaklumkan, dokumen tambahan termasuk laporan media serta kenyataan pimpinan kerajaan turut diserahkan bagi memberi gambaran menyeluruh kepada pasukan penyiasat berhubung kes tersebut.
“Saya secara sukarela hari ini ingin membuat keterangan tambahan supaya boleh membantu siasatan SPRM itu supaya lebih menurut dengan bukti-bukti lain yang tidak disoal siasat semasa tempoh mengambil keterangan minggu lepas.
“Sesi keterangan tambahan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung semalam, namun ditunda atas permintaan SPRM sebelum beliau hadir hari ini untuk meneruskan proses berkenaan,” katanya dalam sidang media di pekarangan ibu pejabat SPRM, pada Khamis.
Terdahulu, Rafizi tiba kira-kira pukul 9.50 pagi ditemani beberapa peguam dengan membawa bukti-bukti baharu setebal 28 muka surat bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa masih terdapat saksi penting yang belum dipanggil bagi melengkapkan siasatan serta memastikan keseluruhan fakta dapat dinilai secara menyeluruh.
“Bagi saya ada lagi saksi-saksi yang belum dipanggil untuk betul-betul mengetahui keadaan rundingan, fakta-fakta yang berlaku semasa rundingan, ada banyak lagi saksi yang belum dipanggil.
“Saya hadir dengan banyak lagi bukti yang pada pandangan saya sepatutnya diambil kira oleh SPRM supaya siasatan ini menjadi lebih menyeluruh dan dapat dilengkapkan dengan segera. Kerjasama dengan ARM ini bukannya dibuat di belakang pintu secara senyap-senyap macam 1MDB.
“Ia dilaporkan secara meluas oleh pihak media, kenyataan keterangan daripada pimpinan kanan negara termasuklah tiga orang lagi yang sebelum ini memuji ini sebagai dasar besar negara termasuklah daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, daripada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, dan Menteri MITI (ketika itu), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,” katanya.
Sementara itu, Rafizi turut merujuk ucapan perpisahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menurutnya mempunyai implikasi besar terhadap persepsi kebebasan agensi penguat kuasa tersebut.
“Semasa ucapan perpisahan itu beliau menyebut bahawa dia tidak akan memaafkan orang-orang yang menyerang atau mengkritik dia.
Sebenarnya itu adalah satu kenyataan yang ada kesan kepada SPRM kerana agensi penguat kuasa tidak boleh ada perasaan peribadi dan mesti berpandukan kepada bukti dan undang-undang semata-mata,” katanya
Rafizi berkata, kenyataan tersebut menimbulkan tanda tanya sama ada wujud unsur emosi dalam pembukaan siasatan terhadap dirinya, khususnya selepas beliau lantang mengkritik isu tertentu sebelum ini.
“Kalau sesiapa berada dalam keadaan saya, ia menimbulkan tanda tanya adakah semasa kes saya dibuka ada unsur emosi dan rasa tidak puas hati yang menyebabkan siasatan itu bermula,” katanya.
SPRM sebelum ini memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.






