
TANGGA BATU – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari meneruskan Program Peduli Veteran MADANI Tangga Batu hari ini dengan menziarahi beberapa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar Tanjung Kling yang berdepan pelbagai ujian kesihatan dan kehidupan.
Beliau yang menunggang sendiri motosikal bagi menyantuni golongan veteran berkata, program berkenaan menjadi antara usaha berterusan kementerian dalam memastikan kebajikan bekas perajurit negara terus diberi perhatian.
“Di sebalik keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini, ada pengorbanan besar daripada insan-insan yang pernah mempertahankan negara. Menjadi tanggungjawab kita untuk terus menyantuni dan memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela,” katanya.
Antara yang diziarahi ialah Mohd Zubir Md Som, 75, di Kampung Gelam, Tanjung Kling. Bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat selama 15 tahun itu kini diuji dengan masalah jantung, manakala isterinya pula terlantar akibat strok, penyakit buah pinggang tahap lima serta masalah penglihatan.
Sebelum ini, keluarganya menerima bantuan katil pesakit serta bantuan baik pulih rumah bernilai RM16,470 melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
Adly kemudiannya meneruskan ziarah ke rumah Latiff Abd Rahman, 81, di Bukit Darat, Tanjung Kling, seorang veteran ATM yang pernah berkhidmat selama 22 tahun.
Walaupun kini tidak mampu bergerak aktif akibat masalah saraf kaki dan kehilangan sebahagian kaki kanan, Latiff tetap ceria meneruskan kehidupan meskipun kehilangan isteri tercinta tahun lalu.
Antara bantuan yang telah diterimanya termasuk bantuan kebajikan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerusi roda serta katil pesakit bagi membantu urusan harian dan penjagaan kesihatan di rumah.
Program berkenaan turut disertai ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kebajikan veteran ATM di kawasan Tangga Batu.




