
LIMBANG – Sokongan berterusan pihak korporat dan syarikat swasta terhadap program kemasyarakatan dilihat menjadi antara faktor utama kejayaan penganjuran Bazar Gawai Agro Tamu Medamit yang kini memasuki tahun ke-10 penganjurannya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, komitmen padu daripada pelbagai pihak termasuk jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan serta penduduk setempat berjaya memastikan program tahunan itu terus berkembang dan mendapat sambutan memberangsangkan setiap tahun.
Menurut beliau, bantuan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sahaja membantu melancarkan perjalanan program, malah memberi impak besar kepada pembangunan komuniti setempat.
“Pihak korporat ataupun syarikat-syarikat terus memberi sokongan terhadap apa juga program yang melibatkan kemasyarakatan.
“Dengan adanya sokongan yang padu melalui CSR, sesuatu program itu dapat dijalankan dengan baik dan berterusan. Kita dapat melihat Bazar Gawai Agro Tamu Medamit ini sudah memasuki tahun ke-10 penganjuran tanpa gagal, sekali gus membuktikan komitmen tinggi semua pihak untuk menaikkan nama Tamu Medamit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Bazar Gawai Agro Tamu Medamit 2026 di sini, semalam.

Hasbi berkata, perkembangan program itu yang semakin besar dan berjaya setiap tahun membuktikan kesungguhan masyarakat setempat dalam membangunkan kawasan Medamit sebagai lokasi tumpuan aktiviti ekonomi dan kebudayaan.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi setempat, malah membuka peluang kepada golongan peniaga kecil dan usahawan tempatan menjana pendapatan.
“Kita dapat melihat setiap tahun program ini menjadi semakin besar dan berjaya. Program seperti ini bukan sahaja dapat menaikkan kawasan Medamit, tetapi juga membantu golongan peniaga kecil untuk berniaga dan meningkatkan sumber pendapatan mereka.
“Ini merupakan satu usaha yang sangat baik dalam membantu ekonomi rakyat khususnya penduduk luar bandar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesuatu program amat bergantung kepada keikhlasan dan semangat kerjasama semua pihak dalam membangunkan masyarakat.
“Saya percaya jika kita ingin melaksanakan sesuatu program dengan penuh ikhlas dan dengan tujuan untuk membangunkan masyarakat, Tuhan akan membantu mempermudahkan segala urusan kita,” katanya.




