CEBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 serta mesyuarat berkaitan yang berlangsung di sini bermula esok hingga 8 Mei ini.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu menjadi platform penting untuk negara anggota ASEAN bertukar pandangan mengenai hala tuju pembinaan Komuniti ASEAN pada masa hadapan.
“Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada impak krisis di Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara, serta respons ASEAN dalam memastikan keselamatan tenaga dan keterjaminan bekalan makanan serantau, di samping menjaga keselamatan warga ASEAN di kawasan yang terjejas.
“Penyertaan Perdana Menteri juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan dan daya tahan rantau ini dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” menurut kenyataan itu.
Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah serta pegawai kanan kerajaan.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-48, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang diadakan di sela-sela sidang utama.
Sepanjang di Cebu, beliau juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari negara-negara ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 akan didahului beberapa mesyuarat peringkat menteri termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-38 serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri dan Ekonomi ASEAN.







