
TAWAU – Dua lelaki berdepan hukuman mati selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah seberat 130,575.18 gram pada April lepas.
Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama mengedar dadah berbahaya di kawasan Batu 15 Jalan Apas pukul 9.30 malam.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Majistret Dayang Aidaku memaklumkan tiada jaminan ditawarkan berikutan kes itu boleh dibantah jaminannya dan menetapkan 2 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin.




