RAWANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan apabila Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Menteri Besar, meskipun timbul dakwaan berhubung tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan.
Beliau berkata, semua pihak diminta agar bertenang serta menghormati titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang Aminuddin terus melaksanakan tugas mentadbir negeri seperti biasa.
“Negeri Sembilan keadaannya biar bertenang terlebih dulu. Seperti yang kita tahu ada isu yang harus dileraikan ikut Perlembagaan negeri, sementara kita ikut titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang minta Menteri Besar teruskan tugas, tadbir negeri dalam keadaan krisis ekonomi begini.
“Tumpu itulah… nak rebut apa lagi. Tunggulah sekejap. Jadi sebab itu, kita sudah nasihatkan dan saya pun sudah sampaikan kepada kawan-kawan serta kepada pimpinan UMNO.
“Kita boleh berunding, tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat. Itu yang pentingnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa kesemua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dalam pertemuannya bersama semua wakil rakyat terbabit.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, langkah yang diambil semua 14 ADUN terbabit sebenarnya berniat baik bagi mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan yang dihormati serta didukung semua rakyat.
Ditanya sama ada tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar namun masih menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan merupakan usaha menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian perlu diuruskan secara bersama.



