DATUK Mubarak Dohak dilapor menangguhkan arahan pengosongan kompaun kediaman rasmi Balai Luak Undang Sungei Ujong buat masa ini atas beberapa alasan.
Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong , Ahmad Hanafi Ruzlan berkata, terdapat motif tidak jelas dan tiada pencerahan berhubung isu surat pemberitahuan penempatan semula bagi kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong bertarikh 27 April yang dihantar melalui e-mel sekitar jam 10 malam di luar waktu bekerja.
Beliau berkata, surat tersebut mengarahkan semua kakitangan supaya melaporkan diri ke Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) jam 9.30 pagi pada 28 April.
“Satu pertemuan diadakan pada hari tersebut dan dihadiri Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin serta Unit Perkhidmatan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Syed Muzaffar Syed Mohamad dengan tujuan pemberitahuan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong.
“Pihak kami seterusnya dimaklumkan Syed Muzaffar bahawa penempatan semula ini lanjutan daripada pelucutan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong di mana arahan yang dikeluarkan berdasarkan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 20 April lalu.
“Disebabkan itu, pihak kami telah memohon agar surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas DKU bertarikh 17 April di Istana Besar Seri Menanti diserahkan kepada Balai Undang Luak Sungei Ujong bagi tujuan pengesahan,” katanya menerusi kenyataan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Hanafi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Raja Norazli bahawa surat rasmi dan minit mesyuarat tersebut ada, tetapi enggan diserahkan kepada dirinya selaku Setiausaha Sulit kepada Yang Teramat Mulia Datuk Undang Luak Sungei Ujong.
Atas dasar itu, beliau memaklumkan berlaku kekeliruan maklumat sama ada arahan tersebut berdasarkan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan pada 20 April atau berpandukan surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas DKU bertarikh 17 April di Istana Besar Seri Menanti.
“Mengapakah surat rasmi dan minit mesyuarat tersebut masih belum diserahkan kepada pihak Balai Undang Luak Sungei Ujong sehingga hari ini? Pihak kami memerlukan kepastian bertulis bahawa pemberitahuan penempatan tersebut berasaskan perkara sahih.
“Bukan sekadar makluman lisan atau kenyataan media yang masih dalam pertikaian dan tuntutan penjelasan terperinci berhubung isu kritikal ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Hanafi menegaskan, Balai Undang Luak Sungei Ujong ketika ini sedang menguruskan pertikaian melibatkan Mubarak.
Beliau berpendapat bahawa pengosongan premis secara mendadak tanpa sebarang kepastian menjejaskan usaha pemulihan berterusan.
“Jika arahan pengosongan diteruskan, pihaknya khuatir bakal timbul kekecohan serta pertelingkahan awam yang berisiko membawa kepada situasi lebih buruk.
“Kehadiran dan penglibatan semua secara langsung adalah penting bagi menyelesaikan krisis ini dan mengurangkan risiko selanjutnya kepada organisasi.
“Berdasarkan perkara-perkara di atas, kami sekali lagi memohon dibekalkan surat rasmi pelucutan dan minit mesyuarat bertarikh 17 April di Istana Besar Seri Menanti pada kadar segera,” katanya.
Terdahulu, Mubarak diarahkan mengosongkan kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong serta-merta, selepas lebih 30 tahun menetap di kawasan itu.
Surat arahan pengosongan tersebut yang dipercayai dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan bertarikh 29 April dengan ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin mula tersebar pada Khamis.
Surat itu menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu.






