
KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) pada mesyuarat pertama penggal kedua DUN Sabah yang ke-17, di sini pada Khamis.
Antara RUU baharu yang diluluskan ialah RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026, RUU Pengurusan Bangunan 2026 dan RUU Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026.
Kesemua RUU berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menerusi undian suara.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai yang membentangkan RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 berkata, RUU iberkenaan bertujuan untuk meminda Enakmen Hari Kelepasan [Bab 56], khususnya subseksyen 3(3) bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang berhubung pemberian hari kelepasan am apabila berlaku pertindihan hari kelepasan pada hari Ahad.
“Pindaan ini adalah perlu bagi menutup kelompongan peruntukan sedia ada serta memastikan tafsiran yang jelas, konsisten dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaannya,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut.
Manakala, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 pula dibentangkan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.
Menurut Julita, RUU itu bertujuan memindahkan Ordinan Pengangkatan 1960 yang merupakan undang-undang untuk mentadbir pengangkatan anak di negeri Sabah.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif membentangkan RUU Pengurusan Bangunan 2026 bagi mewujudkan satu sistem pengurusan bangunan yang lebih komprehensif, moden dan berkesan, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan.
“RUU ini bukan sekadar satu instrumen perundangan, tetapi merupakan satu komitmen kerajaan negeri untuk melindungi kepentingan rakyat sebagai pemilik hartanah, meningkatkan kualiti hidup dalam komuniti berstrata serta memperkukuhkan keyakinan terhadap sektor pembangunan hartanah di negeri kita,” ujarnya.
Bagi RUU Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026 pula ia dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Katanya, RUU itu dibentangkan bagi mewujudkan satu kerangka perundangan yang lebih menyeluruh, moden dan praktikal untuk memudah cara pecah bahagi bangunan atau tanah kepada petak-petak yang akan dipegang di bawah hak milik subsidiari serta bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.





