
MIRI – Penganjuran Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Dayak Miri 2026 di Hotel Dynasty di sini pada Khamis berjaya menceriakan golongan yang memerlukan, sekali gus meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menjelang musim perayaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program berterusan itu merupakan inisiatif penting bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
Menurut beliau, pada majlis berkenaan, seramai 150 penerima bantuan telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang.
“Selain itu, 100 lagi penerima akan diraikan dan diberikan bantuan pada Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Dayak Subis 2026 di Bekenu pada 25 Mei depan.
“Bagi baki 1,278 penerima bantuan yang lain, mereka akan menerima sumbangan secara terus melalui kredit ke akaun bank masing-masing sebagai kesinambungan bantuan kebajikan ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis berkenaan.
Majlis itu turut diserikan dengan sumbangan tambahan berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Hotel Dynasty Miri yang menyumbangkan hamper bernilai RM150 kepada setiap 150 penerima yang hadir, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM22,500.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hotel Dynasty Miri, Tony Pui menzahirkan komitmen teguh pihaknya dalam menyokong komuniti setempat.
“Program ini bukan sekadar pemberian bantuan material, tetapi ia adalah simbol keprihatinan dan sokongan moral kami kepada penerima bagi mengharungi cabaran hidup,” jelasnya.
Kerjasama strategik antara pihak hotel dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri ini terus diperkukuh dengan penganjuran tiga program utama sepanjang tahun merangkumi sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.
Dalam perkembangan berkaitan, bagi tempoh Januari hingga April 2026, JKM Malaysia Bahagian Miri telah merekodkan penyaluran bantuan bulanan sebanyak RM9.18 juta kepada 4,803 penerima, membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, barisan pegawai kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat.



