
KOTA KINABALU – Lebih 40,000 pengunjung membanjiri Padang Merdeka bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Ke-61 termasuk pasangan warga Indonesia di sini, pada Isnin.
Pasangan suami isteri Nur Alian Fadlan dan Jamilah M. Zaini yang merupakan warga Indonesia berkata semangat menyambut Hari Malaysia adalah sama seperti semangat menyambut Hari Kemerdekaan Indonesia.
Jamilah, 60, yang sudah menetap di Sabah selama 30 tahun berkata setiap tahun mereka juga menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
“Semangat kami macam semangat Indonesia. Malaysia adalah hati kami juga, saudara kami juga,
“Hari ini kami cuti mengajar mengaji kerana kami mahu ke Padang Merdeka,” katanya ketika ditemui di Padang Merdeka.
Pasangan suami isteri itu sanggup menunggang motosikal sejauh 12 kilometer (km) untuk ke Padang Merdeka bagi merasai sendiri kemeriahan Sambutan Hari Malaysia pada kali ini.
Pasangan suami isteri itu turut menzahirkan rasa kagum dan gembira terhadap sambutan Hari Malaysia ke-61 yang penuh warna-warni dan meriah dengan kehadiran pengunjung yang luar biasa.




