PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti luar dikaji semula secara holistik oleh Kementerian Pendidikan (KPM), susulan kes dua penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) lemas di Pantai Merdeka, Sungai Petani di Kedah, Sabtu minggu lalu.
Aktivis perlindungan sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, insiden 4 April itu membawa peringatan serius kepada semua pihak mengenai kepentingan keselamatan setiap aktiviti yang dianjurkan institusi pendidikan.
Beliau menegaskan, pendekatan keselamatan tidak seharusnya bersifat reaktif, sebaliknya perlu dilaksanakan secara proaktif, berterusan dan menyeluruh sebelum sesuatu aktiviti dijalankan.
“Institusi pendidikan bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar, guru pelatih dan kakitangan yang menyertai program luar khususnya membabitkan persekitaran berisiko
“Mengapa SOP hanya diberi perhatian selepas berlakunya tragedi? Inilah persoalan yang timbul ketika ini,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat berpendapat, kemalangan semasa aktiviti luar banyak berlaku dan kehilangan nyawa bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu, Lam Thye mencadangkan langkah penting yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan secara tegas, iaitu penilaian risiko menyeluruh sebelum aktiviti diluluskan.

“SOP harus jelas mengikut jenis aktiviti selain mewajibkan taklimat keselamatan wajib, memastikan nisbah penyelia dan peserta mencukupi serta menyediakan penyelamat bertauliah bagi aktiviti air.
“Selain itu, pemantauan keadaan cuaca dan risiko persekitaran, penyediaan pelan tindakan kecemasan, memastikan peralatan keselamatan mencukupi serta garis tanggungjawab yang jelas kepada penganjur dan pihak pengurusan,” katanya.
Sementara itu, Lam Thye berkata, aturan itu mesti diwujudkan dan dipatuhi sebelum aktiviti dijalankan, bukannya hanya dikemas kini selepas berlaku tragedi.
“Jadikan tragedi ini (lemas di Pantai Merdeka) sebagai pengajaran. Tiada perkara yang lebih penting daripada nyawa manusia. Keselamatan mesti diutamakan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program di institusi pendidikan,” katanya.
Pada 4 April lalu, dua penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, masing-masing seorang lelaki berusia 21 tahun dan perempuan usia 20 tahun lemas ketika aktiviti berkayak di perairan Pantai Merdeka.






