
PADANG BESAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diatur gerak segera ke stesen minyak berhampiran sempadan bagi memperkukuh penguatkuasaan dan mengekang aktiviti ketirisan serta penyeludupan bahan api.
Langkah itu susulan arahan terbaharu Kabinet minggu lalu yang memperluaskan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pemantauan stesen minyak di kawasan berisiko tinggi.
Sebelum ini, penguatkuasaan di stesen minyak dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun penambahbaikan dibuat dengan melibatkan polis khususnya di kawasan sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara, namun fokus penguatkuasaan kini tertumpu kepada stesen berhampiran sempadan yang dikenal pasti berisiko berlaku penyeludupan.
“Polis akan mengatur gerak bagi memastikan tiada aktiviti penyeludupan melibatkan stesen minyak di kawasan sempadan,” katanya selepas lawatan kerja ICQS Padang Besar di sini pada Sabtu.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan peningkatan aktiviti penyeludupan yang dipengaruhi perubahan harga minyak global akibat krisis di Asia Barat.
Beliau berkata, berdasarkan rekod dari 1 Januari 2025 hingga 31 Mac 2026, sebanyak 735 kes penyeludupan berjaya digagalkan melibatkan tangkapan 1,460 individu dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2.81 bilion.
Katanya, penyeludupan bahan api berlaku melalui beberapa kaedah termasuk pembelian runcit untuk dibawa keluar negara, aktiviti ‘bunkering’ secara ship-to-ship serta penyalahgunaan diesel subsidi nelayan.
“Perbezaan harga yang ketara antara diesel subsidi sekitar bawah RM1.70 seliter dengan harga pasaran mencecah RM6 mendorong aktiviti ‘channel shifting’, iaitu pembelian bahan bersubsidi untuk tujuan komersial,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini kerajaan membelanjakan sekitar RM700 juta sebulan bagi subsidi petrol dan diesel, namun selepas krisis global, jumlah itu meningkat sehingga hampir RM6 bilion sebulan.
“Jika ketirisan dan penyeludupan tidak dikawal, ia akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti penyeludupan sering melibatkan sindiket terancang yang beroperasi secara sistematik dan berterusan tanpa mengira waktu dan keadaan.
Sehubungan itu, katanya, penguatkuasaan kini perlu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan semua laluan darat, laut dan sempadan dapat dipantau secara menyeluruh,” katanya.



