
SEPANGGAR – Kerajaan terus komited memperkasa pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Mustapha Sakmud berkata, program KAM yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 merupakan inisiatif penting dalam meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan rakyat di kawasan kampung.
“Pada tahun 2025, sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada komuniti Kampung Pulau Sepanggar, untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur.

“Antaranya termasuklah pembaikan titian pejalan kaki, pembinaan pondok jeti serta kerja-kerja baik pulih Masjid Al-Hisyam dan Dewan Serbaguna,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Kampung Angkat MADANI (KAM) di Dewan Serbaguna Kampung Pulau Sepanggar, pada Sabtu.
Mustapha berkata, pendekatan ‘Whole of Government’ yang dilaksanakan menerusi program tersebut membolehkan kerjasama menyeluruh antara pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan pembangunan yang lebih berkesan.
Tambahnya, selain pembangunan fizikal, kerajaan turut menyalurkan bantuan kesejahteraan komuniti seperti bakul makanan, peralatan keselamatan, kerusi roda serta bantuan kewangan kepada golongan memerlukan.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar turut menerima manfaat di bawah Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) melalui penyaluran tujuh unit papan pintar atau smartboard dan 10 komputer riba bagi menyokong pembelajaran digital.
Menurut Mustapha, usaha berterusan tersebut diharap dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk serta melahirkan komuniti yang lebih maju dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI ujarnya.




