PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dengan segera bagi mengimbangi impak lonjakan harga diesel yang semakin memberi kesan rantaian pelbagai peringkat.
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, pelaksanaan intervensi fiskal yang kreatif amat diperlukan bagi memastikan rakyat tidak terus terhimpit susulan keputusan drastik seperti pemotongan subsidi bahan api.
“Kita faham situasi dunia sedang genting, namun kerajaan juga harus faham keadaan rakyat yang semakin gawat. Di mana pakej rangsangan ekonomi? Secara peribadi saya belum dengar sebarang pengumuman.
“Ini masanya kerajaan berfungsi sebagai penyelamat. Kita tidak boleh sekadar mengumumkan pemotongan subsidi atau apungan harga minyak tanpa menyediakan lantai ekonomi yang kukuh,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu berkata, kerajaan sedang meneliti keperluan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dengan mengambil kira pelbagai implikasi semasa.
Menurut beliau, ketika ini fokus utama kerajaan adalah memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi bagi mengelakkan rakyat terus terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.






