
SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan berlakunya gangguan bekalan diesel di Negeri Sembilan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Faizah Othman berkata, bekalan minyak itu di Negeri Sembilan mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
Bagaimanapun, beliau mengakui pada masa tertentu bahan api itu kehabisan stok untuk dijual, hasil pemantauan daripada KPDN.
“Apabila situasi ini berlaku, pihak stesen minyak akan segera menempah bekalan tambahan untuk pengguna.
“Kesimpulannya, pada peringkat Negeri Sembilan bekalan diesel dan petrol adalah mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Faizah berkata, situasi kekurangan bekalan sementara itu bukan baru berlaku tetapi sentiasa diambil tindakan segera oleh pihak stesen minyak.
Pada masa sama, jelasnya, para pegawai KPDN keluar setiap hari untuk melakukan pemantauan memastikan pengurusan stesen mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku kekurangan bekalan.
“Sebanyak 124 pemeriksaan telah dilakukan oleh KPDN di stesen minyak di seluruh negeri ini susulan penguatkuasaan larangan penjualan dan pembelian petrol RON 95 jepada kenderaan asing bermula 1 April lalu.
“Sepanjang pemeriksaan itu mendapati tiada sebarang isu bekalan atau kes ke atas mana-mana orang atau syarikat berkaitan larangan tersebut,” katanya.
Sementara itu, mengenai penggunaan kad pengenalan orang lain untuk membeli RON 95, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima apa-apa aduan mengenainya.
“Tumpuan kami ketika ini adalah memastikan pematuhan kepada Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.






