PUTRAJAYA – Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju tenaga hijau di Asia Tenggara melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyeluruh dan sokongan semua pihak.
Pensyarah Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Professor Madya Dr Md Fauzi Ahmad berkata, krisis di Asia Barat membuktikan pergantungan kepada minyak fosil menjadikan ekonomi negara mudah terdedah kepada kejutan luaran.
Menurut beliau, suasana itu menunjukkan betapa rapuhnya sistem tenaga global yang masih bergantung kepada kawasan tertentu yang sering terdedah kepada konflik geopolitik.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada bahan api fosil seperti gas asli dan arang batu tidak terkecuali daripada kesan turun naik harga tenaga global.
“Perubahan harga minyak dunia secara langsung memberi tekanan kepada kos import tenaga negara, sekali gus memberi kesan rantaian kepada kos pengangkutan, harga makanan dan kos operasi industri,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Md Fauzi berpandangan, Malaysia perlu mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah strategik jangka panjang selain menyokong agenda pembangunan lestari negara serta selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Apabila konflik berlaku, harga minyak mentah boleh melonjak melebihi AS$100 (RM396.39) setong, sekali gus meningkatkan kos tenaga global dalam tempoh singkat. Keadaan ini memberi tekanan besar kepada negara pengimport seperti Malaysia. Dalam jangka panjang, ketidaktentuan ini boleh menjejaskan daya saing ekonomi negara jika tidak ditangani secara struktur.
“Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar dalam bidang tenaga hijau. Negara ini menikmati sinaran matahari sepanjang tahun menjadikan tenaga solar sebagai sumber paling praktikal untuk dikembangkan. Selain, Malaysia memiliki sumber hidro, biojisim dan angin yang boleh dimanfaatkan secara lebih meluas dalam campuran tenaga negara,” katanya.
Dalam pada itu, Md Fauzi berpendapat, menerusi NETR, Malaysia menyasarkan tenaga boleh diperbaharui mencapai sehingga 70 peratus dalam campuran tenaga menjelang 2050.
Menurut beliau, sasaran tersebut bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga memperkukuh keselamatan tenaga negara daripada risiko geopolitik luar selain, tenaga boleh diperbaharui menawarkan kelebihan utama kerana tidak bergantung kepada lokasi geopolitik tertentu.

“Peralihan ini juga membuka peluang ekonomi baharu yang besar. NETR mengunjurkan pelaburan sehingga RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang 2050 dalam sektor tenaga hijau selain mewujudkan mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan tenaga, pemasangan solar, penyelenggaraan sistem, teknologi hijau serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
Bagaimanapun, Md Fauzi berkata Malaysia tetap berdepan beberapa cabaran utama dalam melaksanakan peralihan tenaga ini, khususnya kos permulaan yang tinggi, keterbatasan infrastruktur grid serta isu penyimpanan tenaga menjadi antara halangan utama yang perlu ditangani secara sistematik.
Sementara itu, beliau berkata, selain aspek teknologi, Malaysia juga perlu memperluas kesedaran dalam kalangan masyarakat dan industri, berikutan kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih bergantung kepada tenaga konvensional kerana faktor kos dan kurangnya pendedahan terhadap manfaat tenaga hijau.
Beliau memaklumkan, keperluan buat kerajaan memperkenalkan insentif yang lebih menarik seperti subsidi peralihan tenaga, pengecualian cukai dan skim pembiayaan hijau. Langkah ini akan mempercepatkan penerimaan tenaga boleh diperbaharui tanpa membebankan sektor perniagaan, khususnya PKS.
“Malaysia perlu memperkukuh kerjasama serantau melalui inisiatif seperti ASEAN Power Grid yang membolehkan perdagangan tenaga rentas sempadan termasuk eksport tenaga hijau ke negara jiran, selain bukan sahaja meningkatkan keselamatan tenaga serantau tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.
“Namun, kejayaan pelaksanaan dasar ini bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Tanpa koordinasi yang berkesan, peralihan tenaga akan bergerak perlahan dan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Dalam konteks geopolitik, Md Fauzi berkata, tenaga boleh diperbaharui juga berperanan sebagai alat pengukuhan kuasa negara. Negara yang mempunyai sumber tenaga domestik yang kukuh akan lebih berdaya tahan terhadap tekanan luar dan tidak mudah terjejas oleh konflik global.
“Dengan mengurangkan kebergantungan import bahan api, Malaysia bukan sahaja memperkukuh keselamatan tenaga tetapi juga meningkatkan kestabilan ekonomi jangka panjang. Ini selaras dengan prinsip keterjaminan tenaga yang menjadi teras penting dalam dasar tenaga negara.
“Peralihan kepada tenaga bersih turut beri impak positif kepada alam sekitar. Sektor tenaga adalah penyumbang utama pelepasan karbon. Dengan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, negara dapat mengurangkan kesan perubahan iklim seperti banjir, kemarau dan cuaca ekstrem.
“Dari sudut sosial, ia mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta akses tenaga bersih dan stabil dapat menyokong pembangunan luar bandar, perkasa produktiviti serta kurangkan kos sara hidup namun kita perlu melahirkan tenaga kerja mahir dalam teknologi hijau melalui TVET, kursus kejuruteraan tenaga serta program inovasi teknologi hijau,” katanya.






